Tiga Remaja Ditahan Sebar Mesej Berbaur Hasutan Di Sg Petani


SUNGAI PETANI - Lima remaja lelaki berusia 16 hingga 17 tahun ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan berhubung penyebaran mesej palsu berbaur hasutan dan kes pergaduhan yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata tiga remaja lelaki berusia 16 hingga 17 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran mesej palsu menerusi aplikasi WhatsApp yang menghasut kumpulan tertentu untuk berkumpul dan bergaduh petang Khamis.

Beliau berkata mesej berkenaan mencadangkan satu kumpulan berkumpul di kawasan kilang berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria, pada pukul 1.30 tengah hari esok dan membawa bersama benda tajam untuk bergaduh dengan satu kumpulan lagi.

Siasatan polis mendapati mesej berkenaan berpunca daripada salah faham kecil yang tercetus apabila motosikal ditunggang dua remaja masing-masing berusia 16 dan 17 bergesel semasa hendak keluar dari kawasan sekolah pada 19 Oktober lalu, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Muda dekat sini Rabu.

Md Zukir berkata berlaku pergaduhan pada keesokan harinya melibatkan pelajar terbabit yang kemudiannya membawa kepada satu perhimpunan di kawasan luar sekolah, kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

"Susulan itu, polis menahan tiga remaja lelaki bagi membantu siasatan kes penyebaran mesej berkenaan, manakala dua lagi remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang berlaku.

"Kelima-lima mereka direman empat hari sehingga 29 Okt ini, dan polis masih mengesan seorang lagi remaja lelaki bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com