Tiga Bekas Menteri Mungkin Berdepan Tindakan Perundangan


KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata bekas menteri-menteri yang mendedahkan rahsia kerajaan mungkin menghadapi tindakan perundangan.

"Mereka yang mendedahkan rahsia dan maklumat kerajaan termasuk di dalam Dewan Rakyat dianggap melanggar sumpah kerahsian dan etika, dan mungkin berdepan dengan tindakan perundangan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Beliau diminta mengulas tindakan bekas anggota Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang mempersoal beberapa keputusan kerajaan terutama mengenai 1Malaysia Development Bhd ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017.

Pandikar Amin berkata mereka telah mengangkat sumpah untuk tidak menzahirkan kepada umum berkenaan maklumat ketika menjawat jawatan dalam Kabinet.

"Saya pernah menjadi menteri dahulu dan sebagai menteri, kita mengangkat sumpah.

"Kita bersumpah bahawa kita tidak akan menzahirkan kepada sesiapa, termasuk kita bisik-bisik sama bini kita pada waktu malam, perkara-perkara yang dapat kita ketahui sewaktu kita menjawat jawatan sebagai menteri," katanya.

Pandikar Amin berkata tindakan seumpama itu boleh mengundang tindakan perundangan kepada mereka walaupun tidak diambil tindakan dalam persidangan Dewan Rakyat.

Katanya terdapat akta-akta tertentu seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Hasutan 1948 yang berkemungkinan boleh diambil pihak berkuasa terhadap bekas menteri-menteri berkenaan.

"Jadi nasihat saya kepada Yang Berhormat, kalau kita tahu sesuatu isu itu, harus hati-hati...tetapi apabila berdiri (untuk berbahas) ada mikrofon, langsung semua itu dia lupa kerana dikatakan menjalankan tugas sebagai seorang wakil rakyat. Namun bukan itu sahaja tugas Yang Berhormat, perlu ada kebertanggungjawaban," katanya.

Pandikar Amin juga menegur anggota Parlimen yang katanya tidak menghormati Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan dengan tindakan seperti keluar dewan dan mempertikai pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Kita selalu mengatakan yang kita sebuah negara demokratik. Kita patut mencontohi bagaimana amalan negara-negara demokratik seperti di Barat...kita tidak boleh bertabiat seperti ahli-ahli Yang Berhormat yang kita rujuk itu.

"Di Parlimen-parlimen itu tidak ada ahli-ahli parlimen yang keluar ketika  pembentangan bajet, tidak pernah," katanya.

Beliau turut merujuk kepada tindakan Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang mempertikai pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta menuduhnya memalukan Parlimen selepas diarah keluar dari Kamar Khas pada Selasa.

Pandikar Amin sedih anggota Parlimen itu bertindak demikian walaupun, katanya, beliau telah sedaya upaya mentransformasi Parlimen negara ini termasuk dengan mewujudkan Kamar Khas dan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

"Kalau saya memalukan, saya rela undur diri, tetapi lenganglah Parlimen kerana semua pun memalukan," katanya sambil menegaskan bahawa beliau tidak akan mengundur diri kerana mempunyai tugas dan tanggungjawab kepada negara. -Bernama

1 comment:

  1. bapa pandikar nama mulia. tapi pandikar tidak mulia.

    ReplyDelete

| Copyright © 2013 KedahNews.com