Tak Salah PAS Runding Dengan Kerajaan Persekutuan - Abdul Hadi


KUALA LUMPUR - Tidak salah untuk PAS mengadakan 'rundingan politik' dengan pihak lain yang bertujuan memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan politik dengan kerajaan Persekutuan dibenarkan jika ia dilakukan untuk melanjutkan undang-undang Islam.

"Tidak salah jika rundingan diadakan di antara ahli-ahli masyarakat Islam.

"Justeru tidak salah bagi kita untuk mengadakan rundingan politik di peringkat kerajaan," katanya ketika membahaskan ucapan Bajet 2017 di Parlimen, Rabu.

Beliau berkata rundingan tersebut adalah perkara biasa, seperti mana dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan di Kelantan.

"Jika kerajaan negeri Pulau Pinang boleh mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan berhubung projek lebuh raya dan jambatan, adakah salah bagi kita untuk berunding dengan pihak berkuasa persekutuan?" soal beliau.

Sebelum itu, Abdul Hadi berkata, beliau juga tidak mempunyai hak terhadap undian Rang Undang-Undang Persendirian (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

"Terpulang kepada penggubal undang-undang untuk buat keputusan kerana ini adalah prinsip-prinsip demokrasi," katanya ketika ditanya oleh Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) jika ahli parlimen di Sabah dan Sarawak dipaksa untuk menyokong RUU tersebut.

Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Baru), yang dibenarkan bercakap oleh Hadi mengingatkan ahli Parlimen bahawa Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) telah dibentangkan untuk pindaan pada 1965 dan 1984 dan diluluskan tanpa sebarang perbahasan.

"Apabila akta itu dibentangkan untuk pindaan pada 1965, Lee Kwan Yew juga tidak membahaskannya," katanya.

Beliau memberi jaminan kepada penggubal undang-undang bahawa pindaan yang dicadangkan tidak bertujuan untuk melaksanakan hudud tetapi hanyalah untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah.

Abdul Hadi membentangkan Rang Undang-Undang pada 26 Mei tetapi ditangguhkan untuk perbahasan pada mesyuarat Parlimen kali ini.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com