Suami Bakar Rumah Lepas Gaduh Dengan Isteri


IPOH - Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kebakaran sebuah sebuah rumah di Taman Kuan Won Yuen di Jalan Bendahara di sini, petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata suspek dikenali sebagai Muhamad Safie Mahat, 41, yang juga merupakan penghuni rumah tersebut melarikan diri selepas bertindak membakar rumah itu.

Beliau berkata hasil siasatan pihaknya mendapati wujud unsur jenayah dalam kejadian tersebut.

"Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil  membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Sum berkata kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, lima rumah teres papan musnah terbakar, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kerugian sedang disiasat.

Difahamkan, suspek bertindak membakar rumah yang disewanya itu selepas berlaku pergaduhan dengan isterinya.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Putih menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.36 petang dan berjaya mengawal kebakaran sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com