Sistem Cabut Undi Tender Kementerian Pendidikan - Mahdzir Khalid


KUALA LUMPUR – Sistem cabut undi bagi pemberian tender Kementerian Pendidikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata sistem itu bagi mengganti kaedah pemberian tender menerusi mesyuarat untuk memutuskan syarikat yang layak sebelum ini.

“Kementerian mengambil kira kebajikan kontraktor kecil maka kami putuskan kaedah cabut undi untuk bersifat lebih adil.

“Kementerian ada banyak kontrak berskala kecil seperti membekal makanan asrama sekolah, kebersihan kawasan sekolah dan kawalan keselamatan yang memang sesuai untuk diberikan kepada kontraktor kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia kali keempat, di sini semalam.

Presiden persatuan Tukiman Radion berkata cabutan undi merupakan kaedah terbaik yang dilihat memberi peluang kepada kontraktor kecil untuk mendapatkan tender kerajaan.

Katanya persatuan mahukan kaedah seumpama itu bagi membela nasib lebih 24,000 kontraktor Kelas F di negara ini. (Kontraktor Kelas F adalah syarikat Bumiputera.)

“Kami alu-alukan kaedah ini yang kami lihat sangat telus. Ini dapat membela nasib ahli persatuan yang kini menjangkau 5,000 orang,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com