Sejauh Mana Cinta Kita Pada Saudara Seakidah? 
Seperti Cinta Para Malaikat?


PATUTLAH para malaikat pemikul arasy dan malaikat yang berada di sekitarnya diletakkan Allah berdampingan dengan arasy.

Walaupun kedudukan mereka sangat tinggi dan mulia, ingatan mereka kepada makhluk Allah lain tidak pernah lekang. Mereka sentiasa mendoakan orang beriman. Lihat pujian Allah kepada mereka dalam ayat ini:
“Malaikat yang memikul arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “wahai Tuhan kami! rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segalanya; maka berilah ampun kepada orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka daripada azab neraka.” (Ghafir [40:7]).
Tafsiran Imam al-Baydhawi pada ayat ini sangat menarik perhatian. Bukan sahaja menarik perhatian tetapi menjadi “tukul besar” mengetuk jiwa manusia agar mencontohi para malaikat yang baik sekali interaksi mereka sesama makhluk seakidah dengan mereka.

Kata Imam al-Baydhawi: “Pada ayat ini (berkaitan doa para malaikat pemikul arasy kepada orang beriman di bumi) menunjukkan bahawa kesatuan pada iman mewajibkan nasihat (kebaikan) dan kasihan belas walaupun jenis (spesis) mereka berbeza (antara manusia dan malaikat). Ini kerana kesatuan iman (akidah) menjadi penghubung terbaik (antara malaikat dan orang beriman) berdasarkan firman Allah: “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara (al-Hujurat [49:10]).” (Tafsir al-Baydhawi).

Maha Suci Allah! Luas sekali ufuk minda Imam al-Baydhawi kerana melihat hubungan akidah antara malaikat dan manusia menyatukan mereka dalam doa. Walaupun berlainan spesis, iman para malaikat menjadikan mereka sangat mengasihi orang beriman yang lain.

Akhlak para malaikat ini sepatutnya menjadi contoh kepada kita. Dalam ayat lain Allah menyifatkan sifat orang beriman sesama mereka yang saling menyayangi antara satu sama lain:
“Nabi Muhammad (SAW) adalah Rasulullah; dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang kafir yang (memusuhi Islam), dan bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam),” (al-Fath [48:29]).
PERINGATAN UNTUK SEMUA

Walaupun kita berbeza aliran, parti, pasukan, jagalah lidah dan tangan kita daripada menyakiti saudara seakidah. Dunia maya yang tiada batas seperti hari ini seakan ombak fitnah yang sungguh besar melanda umat Islam dari segenap penjuru.

Tangan yang menulis status pedas menyindir saudara seakidah yang tidak sefahaman dengan kita seakan menjadi pisau tajam menghiris jiwa. Sedih sekali melihat fenomena ini. Marilah kita semua mencintai saudara seakidah sebagaimana mulianya sikap para malaikat langit.

Jika saya pernah melukakan hati anda (para pembaca) dengan hirisan tulisan saya, saya mohon maaf kerana tafsiran Imam al-Baydhawi di atas sangat merenggut ego saya. Saya berdoa agar tidak lagi mengulangi kesilapan dahulu. Saya juga menyeru kita semua agar mengubah cara interaksi dengan saudara seakidah sebagaimana mulianya akhlak para malaikat.

Jika pegangan saudara seakidah kita tidak dipersetujui, tegurlah mereka dengan berhemah dan berakhlak. Usahlah jadikan bahasa kita yang tidak elok sebagai pintu bagi syaitan meruntuhkan persaudaraan Islam sebagaimana firman Allah:
“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang Mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia,” (al-Isra’[17:53]).
Jika mereka menolak, bahasa pedas menyindir bukanlah ubatnya untuk mereka. Ia hanya akan menjadi racun yang semakin menjauhkan saudara seakidah daripada fahaman yang kita anuti. 

Sebaliknya berdoalah kepada Allah agar mereka diberi hidayah. Insya-Allah, cara para malaikat pemikul arasy itu lebih berkesan dan dicintai Allah.

Rasulullah SAW pernah berpesan agar kita benar-benar menunaikan hak sesama Muslim dalam sabdanya:
“Muslim sejati adalah orang yang selamatkan Muslim lainnya daripada (kejahatan) lidah dan tangannya,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com