"Saya Makan Tak Banyak Pun, Doktor Tak Larang" - Yazit


KUALA LUMPUR - Berikutan gambarnya sedang menikmati sup ‘gear box’ kambing dimuat naik di Facebook baru-baru ini, ramai beranggapan pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad melanggar nasihat doktor.

Dia yang sebelum ini mengalami komplikasi buah pinggang dan jantung serius hingga dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada Julai tahun lalu.

Yazit, 54, ketika dihubungi berkata, keadaan kesihatannya kini stabil dan menyifatkan perkara ini hanya salah faham kerana dia hanya makan dalam kadar yang sedikit.

“Alhamdulillah saya sihat dan selepas ini hanya perlu membuat pemeriksaan jantung secara berkala. Selain itu saya juga akan melakukan sedikit pembedahan kecil tidak lama lagi,” katanya.

Yazit berkata, ketika itu dia berkunjung ke restoran milik sahabat baiknya, Johan Aziz yang juga pengurus Zamani Slam.

“Saya tak makan banyak pun. Selebihnya saya hanya makan roti. Lagipun doktor tidak melarang saya ambil makanan ini,” katanya.

Menurut Yazit, kehadirannya di situ bertujuan menyokong perniagaan rakannya itu dan berpendapat ia tidak perlu diperbesarkan.

Dalam pada itu, Yazit yang sedang berkrisis dengan anggota Search lain akan tampil dalam sebuah album bersama kumpulan Rampage tidak lama lagi.

“Selain saya, kumpulan ini turut dianggotai oleh Moq, Cha’a dan Zam. Konsep yang ditampilkan memang berbeza daripada Search. Saya sudah berjaya menyiapkan 10 buah lagu untuk kumpulan ini,” katanya.

Sumber: myMetro

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com