Rooney "Digoda" Tawaran RM2.5 Juta Seminggu Tinggalkan Man U


LONDON - Sven-Goran Eriksson bersedia menguji keazaman dan kesetiaan Wayne Rooney untuk terus kekal di Manchester United dengan tawaran lumayan beraksi di China.

Pengurus kelahiran Sweden itu akan membuat cadangan berkenaan pada tahun baharu untuk pemain antarabangsa England itu untuk menamatkan penghujung kerjayanya dengan beraksi di China.

Kelab Eriksson, Shanghai SIPG sudah memantau perkembangan Rooney dan mereka akan memancingnya dengan perjanjian STG80 juta (RM409 juta).

Tawaran kontrak STG500,000 (RM2.5 juta) seminggu - termasuk bonus komersial - sudah dibuat untuk Rooney dan penasihatnya 10 bulan lalu.

Tetapi selepas perbincangan panjang, Rooney memutuskan dia mahu meneruskan kerjaya di United dan England.

Bagaimanapun, kedudukan penyerang itu berubah sejak Jose Mourinho mengambil alih di Old Trafford dengan bos baharu United itu tidak dapat menjamin tempatnya dalam kesebelasan utama.

Dengan kerjaya bersama skuad England juga kini di persimpangan, Rooney mungkin tidak boleh menolak untuk memikirkan tawaran besar yang sukar dibayangkan itu.

Pilihan lain yang mungkin difikirkan pemain yang akan berusia 31 tahun esok adalah untuk mengikuti bekas pemain antarabangsa England, Steven Gerrard dan Frank Lampard ke MLS. - Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com