Rawatan Al-Qalam Di Karnival Rakyat Kuala Nerang


KUALA NERANG - Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam menyediakan rawatan alternatif secara Islam pada Karnival Rakyat yang diadakan di Pusat Komuniti Masyarakat Cikgu Hashim Kampung Barokhas, di sini.

Program selama tiga hari yang bermula 29 hingga 31 Oktober akan dirasmikan oleh Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim.

Pengasas Al-Qalam, Datuk Seri Baharuddin Abu berkata, mereka kembali ke Kuala Nerang berdasarkan luar jangka penduduk pada program Sentuhan Kasih yang dianjurkan dua minggu lalu.

Beliau berkata, ada pesakit yang tidak sempat mendapatkan rawatan daripada Al-Qalam kerana jumlah yang hadir terlalu ramai dan masa pula agak singkat.

"Kebanyakannya adalah terdiri daripada golongan kurang mampu yang tidak mampu datang ke pusat rawatan kami Selangor. Jadi kami tidak mahu menghampakan mereka," katanya.

Dua minggu lalu pertubuhan itu berada di Kuala Nerang selama dua hari untuk mengagihkan sumbangan kepada lebih kurang 150 orang asnaf dan miskin di kawasan ini melalui program Sentuhan Kasih.

Pada program itu juga Baharuddin memberikan rawatan secara percuma kepada golongan warga emas dan golongan kurang mampu.

Baharuddin berkata, mana-mana individu yang mengalami penyakit mistik, sakit sendi, sengal badan dan sebagainya oleh bertemu beliau di Karnival Rakyat.

“Kaedah rawatan secara Islam yang digunakan pertubuhan ini dapat membantu menyelesaikan masalah dengan izin ALLAH terutama berkaitan kerohanian," katanya.

Selain rawatan alternatif secara Islam, Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam yang berpusat di Puchong, Selangor turut menyediakan Pusat Rawatan Warga Emas dan Pusat tahfiz.

“Sakit adalah satu rezeki kerana ALLAH menarik dosa-dosa keluar dari tubuhnya. Tidak kira sama ada rawatan hospital dan perubatan Islam, penyembuhnya tetap ALLAH," katanya.

Untuk keterangan lanjut boleh melayari laman web www.alqalam.com.my dan Facebook Purawis Al-Qalam.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com