Presiden MCA Mahu Ahli Manfaat Media Sosial Tepis Dakyah


BENTONG - Ahli MCA diminta memanfaatkan media sosial untuk memberikan penerangan terperinci berkaitan segala isu membabitkan komuniti Cina yang sering digunakan pembangkang sebagai dakyah memburukkan kerajaan.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, mereka berkeupayaan menangkis segala tuduhan liar pembangkang itu dengan berkesan menerusi teknologi multimedia dan ruang siber yang kini mudah dicapai melalui telefon pintar.

Beliau berkata ahli MCA perlu menerangkan dengan terperinci berkaitan mana-mana isu dihadapi komuniti Cina yang tidak dapat diselesaikan, sebab pembangkang seperti DAP akan menggunakan isu itu semata-mata untuk mendapatkan sokongan.

"Ahli MCA boleh menggunakan telefon (pintar) yang masing-masing ada, dan telefon ini sekarang sudah ada teknologi multimedia serta ruang siber untuk sampaikan mesej-mesej benar kepada komuniti Cina.

"Kita tahu masyarakat Cina pun sudah kecewa dengan pembangkang yang menggunakan pelbagai usaha untuk menanam hasad dengki antara kaum tetapi tidak ada apa-apa manfaat diberikan kepada kaum Cina, sentiasa gunakan isu, tetapi tidak bantu komuniti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan MCA Pahang di sini, semalam.

Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, anggota MCA juga perlu berperanan menyampaikan maklumat tepat kepada komuniti Cina mengenai segala pembangunan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) demi kesejahteraan rakyat.

"(Hanya) BN boleh beri khidmat baik kepada rakyat, bukan pembangkang yang sering omong kosong dan bergaduh sesama sendiri.

"Kita (kerajaan BN) akan cari pelbagai cara untuk meningkatkan ekonomi negara, apabila ekonomi negara semakin meningkat, semua kaum akan mendapat manfaat," katanya.

Beliau turut meminta ahli MCA melaksanakan pelbagai program membabitkan akar umbi dalam usaha mendekatkan parti dengan rakyat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com