Polis Tumpas Geng Curi Kenderaan, Tahan Tujuh Individu


BUKIT MERTAJAM - Polis menumpaskan satu geng curi kenderaan selepas menahan tujuh individu termasuk seorang wanita dalam beberapa serbuan di sekitar negeri ini dan Kedah, sejak Khamis hingga tengah malam Jumaat.   

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata satu pasukan khas polis melancarkan operasi selepas menerima laporan berhubung kes curi sebuah kenderaan pacuan empat roda, Ford Ranger milik seorang kontraktor di Taman Markisah, di sini.  

"Bertindak hasil maklumat dan risikan, polis berjaya mengesan dua lelaki dan seorang wanita berusia 24, 25 dan 34 tahun di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Bukit Minyak pada pukul 8 malam Khamis.  

"Siasatan mendapati mereka terlibat dalam kes curi kenderaan itu dan kemudiannya polis menyerbu sebuah pusat hiburan keluarga di Alma sebelum menahan seorang lagi lelaki berumur 33 tahuan kira-kira pukul 1 pagi semalam," katanyadi sini , Sabtu. 

Beliau berkata susulan penahanan mereka, polis menahan seorang lelaki di Padang Serai, Kedah berusia 43 tahun dan menahan lagi dua lelaki berumur 33 serta 36 tahun di Lunas dan Kulim, Kedah pada Jumaat.   

Nik Ros Azhan berkata polis turut merampas telefon bimbit, sebuah motosikal Kawasaki RR150 dan sebuah kereta Proton Wira yang dilaporkan dicuri baru-baru ini serta pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan antaranya kunci, sepana dan playar.  

Katanya Ford Ranger yang dicuri dalam kejadian di Taman Markisah itu telah dijual kepada seorang daripada rakan mereka dan usaha mengesan lelaki dan kenderaan terbabit sedang dijalankan.  

"Siasatan polis mendapati setiap daripada mereka yang ditahan itu mempunyai peranan masing-masing dalam sindiket curi kenderaan dan dipercayai geng berkenaan aktif di negeri ini serta Kedah sejak awal tahun ini," katanya.  

Beliau berkata kesemua mereka termasuk tiga daripadanya yang mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan.  

"Polis percaya dengan penahanan mereka kami dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi kenderaan dan motosikal di daerah ini.  Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya. -Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com