Piala Malaysia: Di Australia Juga Ada Penyokong Kedah - Shane Smeltz


PENYERANG import Kedah, Shane Smeltz mengakui berdebar menanti perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada Ahad ini.

Walaupun mempunyai pengalaman luas dalam dunia bola sepak sehingga mewakili New Zealand dalam pusingan akhir Piala Dunia, namun pemain kelahiran Jerman itu tetap menganggap final Piala Malaysia sebagai pengalaman baru baginya.

Menurut pemain berusia 35 tahun itu, dia juga teruja untuk mewakili Kedah dan memastikan kemenangan dapat dibawa pulang ke Alor Setar.

"Inilah kepuasan dan nikmat yang ditunggu oleh mana-mana pemain bola sepak tidak kira di mana dia beraksi, setiap kali beraksi pada perlawanan akhir kami mahu memastikan matlamat utama bertanding dicapai.

"Walaupun saya pernah beraksi dalam perlawanan akhir, tetapi masih berdebar dan teruja untuk beraksi dalam perlawanan ini. Saya yakin kita mampu memenangi perlawanan kali ini berdasarkan prestasi semasa rakan-rakan.

"Saya teruja kerana hanya mendengar dan membaca dalam akhbar Australia mengenai perlawanan akhir Piala Malayusia tetapi tidak pernah merasainya. Syukur akhirnya saya berada di sini untuk perlawanan akhir Piala Malaysia,” katanya.

Smeltz memberitahu, perlawanan kali ini lebih bermakna buat dirinya kerana isteri dan dua anaknya akan turut berada di stadium bagi menyaksikan perlawanan akhir berkenaan.
Isteri dan anak-anak Shane Smeltz
"Apa yang penting sekarang saya perlu fokus untuk perlawanan ini kerana tidak mahu terlepas daripada mendakap Piala Malaysia.

"Inilah peluang untuk saya mendapat pengalaman baru di Malaysia. Kemenangan ini akan menjadi sejarah bermakna untuk diri ini sebelum 'menggantung but'. Apa pun bola sepak adalah dunia dan minat saya, ini tidak dapat dipisahkan lagi," jelasnya.

Tambahnya, kemenangan dalam perlawanan berkenaan penting untuk dihadiahkan kepada penyokong Kedah yang tidak boleh dipertikai kesetian mereka.

"Merekalah 'die hard fan', bukan setakat di negeri dan negara ini malah di Australia juga ada penyokong Kedah. Mereka tidak jemu memberi sokongan kepada pasukan ini.

"Oleh itu, kemenangan ini penting untuk mereka selain pemain, barisan jurulatih dan pengurusan pasukan," ujar Smeltz.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com