Piala Malaysia: Berkat Usaha Dan Kesabaran Ifwat Akmal


BERKAT kesabaran dan usaha untuk menjadi yang terbaik antara rahsia Ifwat Akmal Che Kassim berjaya meletakkan dirinya sebagai penjaga gol utama Kedah pada musim ini sekaligus dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Ahad ini.

Walaupun baru berusia 20 tahun, namun Ifwat Akmal mampu mempamerkan kematangan sebagai penjaga gol profesional dan mengawal gawang skuad hijau kuning daripada dibocori lawan dengan mudah.

Menurutnya, Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe mula memberikan tanggungjawab sebagai penjaga gol utama kepadanya ketika Kedah mengadakan perlawanan pramusim di Thailand selepas Farhan Abu bakar mengalami kecederaan.

"Selepas itu, saya dipilih semula semasa kami menentang T Team dalam aksi Piala Malaysia. Sejak itu saya cuba memberikan yang terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan jurulatih dan harapan daripada rakan sepasukan.

"Sejak itu, keyakinan saya semakin meningkat dan terus diberi tanggungjawab sebagai penjaga gol utama. Saya bersyukur kerana berkat kesabaran dan usaha ini akhirnya memberikan hasil," katanya.


Tambahnya, dia juga seperti bermimpi akan beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada Ahad ini menentang Selangor di Shah Alam selepas menjadi penjaga gol simpanan pada awal musim.

Ifwat Akmal dilahirkan di Alor Setar dan dibesarkan di Perlis. Bekas pemain futsal Kedah itu kehilangan bapanya, Che Kasim Sudin yang juga pesara Angkatan Tentera Malaysia sejak enam tahun lalu.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mergong itu kini tinggal bersama ibunya Rohana Cha.

Mengulas mengenai saingan akhir Piala Malaysia, Ifwat Akmal berkata, tumpuannya kini terarah untuk memastikan gawang kedah tidak dibocori lawan.

"Ini adalah pengalaman baru dalam hidup saya. Peluang ini tidak akan datang banyak kali dan oleh itu saya perlu menggunakannya sebaik munkgin.

"Berbekalkan semangat penyokong Kedah, saya akan lakukan yang terbaik dalam perlawanan Ahad ini supaya kita tidak lagi kecewa pada musim ini kepada lawan yang sama," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com