Piala Malaysia 2016: KEDAH JUARA..!!!


ALOR SETAR - Pasukan Lang Merah malam tadi terbang tinggi di Stadium Shah Alam apabila berjaya mencipta lebaran sejarah baru bola sepak negeri itu dengan menjuarai TM Piala Malaysia 2016, menewaskan pasukan Selangor.

Terikat dengan jaringan 1-1 sehingga ke wisel penamat perlawanan, Kedah menewaskan The Red Giants melalui sepakan penalti yang memihak kepada negeri Jelapang Padi itu menerusi jaringan Mohd Rizal Ghazali setelah sepakan pemain Selangor, Rizal Fahmi terkena palang.

Skuad Kedah yang diketuai oleh Ketua Pasukan, Baddrol Bakhtiar menjulang trofi Piala Malaysia 2016 selepas menundukkan Selangor 6-5 menerusi penentuan penalti pada aksi final di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Terdahulu, Mohd Rizal juga membawa Kedah mendahului Selangor 1-0 pada separuh masa kedua hasil jaringannya pada minit ke-51 yang gagal dijangkau penjaga gol Selangor.

Namun begitu, Selangor enggan cepat mengalah apabila Ahmad Hazwan Bakri berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-60.

Mohd Rizal Mohd Ghazali ketika membawa Kedah mendahului Selangor 1-0 pada separuh masa pertama. -fotoTHESTAR
Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berbesar hati menghadiahkan kemenangan Kedah malam ini kepada Sultan Kedah, Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau dalam kenyataannya kepada media turut menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia kali ini kepada seluruh penyokong setia Hijau Kuning dan seluruh rakyat Kedah yang tidak putus-putus memberi sokongan serta galakan kepada pasukan kebanggaan negeri itu.

Tunku Temenggong Kedah, Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah berkenan menyampaikan trofi Piala Malaysia kepada kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar.

Hadir sama menyaksikan perlawanan berkenaan adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Kejuaraan kali ini merupakan kali kelima Kedah berjaya menjulang Piala Malaysia, sekaligus melunaskan dendam terhadap The Red Giants yang menewaskan Lang Merah pada perlawanan akhir, tahun lalu.

Ekoran itu, seluruh Kedah diumumkan cuti hari ini dan persediaan bakal dibuat bagi menyambut wira-wira hijau kuning itu kembali membawa piala berprestij itu ke bumi jelapang padi dalam tempoh terdekat. -Kedahnews.com


No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com