Penduduk Kg Lalang Di Baling Bantah Pembinaan Dewan

Hamid Abu Hassan menunjukkan pembinaan dewan tersebut.
BALING - Penduduk Kampung Lalang di sini membantah pencerobohan bagi  pembinaan sebuah dewan di atas tapak permainan kanak-kanak.

Difahamkan, pembinaan lebih dua bulan lalu itu memusnahkan tapak asal padang permainan kampung tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK), Kampung Lalang, Hamid Abu Hassan, berkata, pembinaan masih dijalankan oleh pihak kontraktor walaupun surat memberhentikan projek tersebut sudah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Baling, sebulan lalu.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat ekoran tindakan pihak berkenaan yang masih meneruskan projek.

"Penduduk membantah sebab di situ merupakan padang permainan kanak-kanak, laporan polis juga sudah dibuat pada 11 Oktober lalu.

"Penduduk tidak mahu kawasan tersebut diganggu, kami mahu ia seperti keadaan sediakala," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, surat bantahan 200 tanda tangan membantah pembinaan itu sudah dihantar kepada Pejabat Daerah Baling, dan Penghulu Mukim.

Menurutnya, penduduk kecewa kerana masih tiada tindakan diambil kepada pihak berkenaan.

"Masih tiada perubahan, pembinaan masih diteruskan dan kami sangat kecewa.

"Demontrasi aman juga sudah dilakukan penduduk pada 30 Jun lalu, tetapi pihak tersebut masih berdegil," katanya.

Beliau berkata, susulan itu pihaknya akan menghantar surat bantahan kepada Pejabat Dun Bayu, Pejabat Ahli Parlimen Baling dan Majlis Daerah Baling semalam.

Menurutnya, jika projek tetap diteruskan, mereka tidak akan teragak-agak melakukan sekali bantahan.

"Setakat ini kami bertindak mengikut prosedur bagi membantah projek.

"Tetapi jika masih berdegil teruskan pembinaan, pihak kampung akan ambil tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, pihak kampung juga akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Kedah bagi menyelesaikan masalah itu.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com