Pendawaian Semula Elektrik Di Sekolah Berusia Lebih 50 Tahun - Mahdzir


PEKAN - Kementerian Pendidikan akan memeriksa dan melakukan pendawaian semula elektrik di sekolah menengah dan rendah yang berusia lebih 50 tahun di seluruh negara bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerja-kerja pendawaian semula itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat bermula hujung tahun ini dengan keutamaan terhadap sekolah yang berusia lebih lama.

Katanya mengikut rekod kementerian kebanyakan daripada 10,176 buah sekolah rendah dan menengah di negara ini mempunyai bangunan induk yang berusia lebih 50 tahun.

"Banyak bangunan sekolah dibina selepas tahun 1960 dan selepas 10 hingga 20 tahun, mereka tambah bangunan baru, baiki sana sikit, sini sikit.

"Jadi kementerian bersetuju ada sekolah yang perlu dilakukan semula pendawaian elektrik kerana mengikut jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) pun, sesuatu bangunan itu perlu dilihat semula pendawaian elektriknya selepas tempoh 20 tahun kerana arus elektrik yang melaluinya sudah tidak sama," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelab STEM ExxonMobil-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini Ahad.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, dan Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang Datuk Rosdi Ismail.

Dalam masa yang sama, katanya, kementerian juga menyediakan sejumlah peruntukan untuk membaik pulih 1,800 buah makmal di sekolah menengah harian biasa bagi membolehkan ia dapat digunakan kembali untuk amali sains pelajar sekolah yang berkenaan.

Beliau berkata kos membaik pulih setiap makmal terlibat dijangka menelan belanj RM100,000 termasuk kos membeli peralatan makmal yang baharu.

"Reka bentuk makmal baharu ini telah ada dan kita jangka akan mula melaksanakan kerja membaik pulih makmal ini bermula pada awal tahun depan," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Mahdzir berkata penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran dalam bidang sains, teknologi dan metematik (STEM) masih rendah iaitu di bawah paras 40 peratus.

Sehuhubungan itu, katanya, selain pihak kementerian dan guru-guru, ibu bapa juga perlu turut sama memain peranan menyemaikan minat anak-anak mereka dalam bidang tersebut.

"Kita di peringkat kementerian sendiri turut mengalu-alukan sebarang usaha seperti yang dilakukan oleh ExxonMobil dan UKM untuk mempertingkatkan kemahiran pelajar dalam bidang STEM khususnys pelajar di luar bandar kerana ia memenuhi dasar sains dan teknologi negara," katanya. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com