Pemimpin Lama Sanggup Guna Taktik Hasut Guling Kerajaan


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata seorang pemimpin lama sanggup guna taktik hasut dengan menuduh perjuangan parti yang diketuai Perdana Menteri kini sudah lari daripada perjuangan asal.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata pemimpin lama itu sengaja guna taktik sedemikian sebagai alasan untuk menarik orang ramai menyertai parti ciptaan beliau iaitu PPBM selain memecahbelahkan orang Melayu.

Perdana Menteri menerusi blog www.najibrazak.com semalam berkata sepanjang 40 tahun perkhidmatannya dalam kerajaan, beliau masih lagi mempunyai perjuangan tersendiri iaitu untuk memajukan agama, bangsa dan negara.

“Namun, sejak akhir-akhir ini, ada seorang pemimpin lama mula menghasut rakyat, mengatur langkah dari dalam dan luar negara untuk menuduh saya dengan perkara-perkara yang sama beliau dituduh semasa beliau berkuasa.

“Memang benar perjuangan dulu dan sekarang berbeza. Dulu, beliau yang berumur 91 tahun ini memperjuangkan kemerdekaan. Sekarang saya memperjuangkan kemajuan negara,” kata Najib lagi.

Menerusi catatan dalam blog beliau yang bertajuk ‘Ucapan Perdana Menteri Mengenai Perjuangan Politik‘, Najib jelas merujuk kepada Tun Dr. Mahathir walaupun tidak menamakan bekas perdana menteri itu.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mempersoalkan sama ada usaha meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat tidak dianggap perjuangan seperti pembinaan infrastruktur seperti MRT, BRT, LRT, Lebuhraya Pan Borneo, RAPID Pengerang, Kota Iskandar.

“Apakah penyediaan bantuan kerajaan seperti TERAJU, TEKUN, Bantuan Rakyat 1Malaysia, PR1MA, e-Kasih, UTC, RTC untuk kemudahan rakyat itu sebagai bukan satu perjuangan?

“Apakah usaha memajukan sukan sehingga mencapai keputusan paling cemerlang dalam sejarah pun bukan satu perjuangan?” tanya Najib.

Beliau berkata banyak pihak mengetahui parti politik baru pemimpin lama itu sedang berjuang untuk menjatuhkan kerajaan hingga sanggup bersekongkol dengan parti cauvinis yang pemimpinnya sudah didakwa melakukan rasuah.

“Siapakah yang sebenarnya tersasar daripada perjuangan?” soal Najib sambil menegaskan beliau dan jemaah menteri akan terus komited dalam perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com