Pelajar IPT Rasuah Pensyarah Untuk Naik Gred, Lulus Periksa

TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil. - Foto Azhar Ramli
PETRA JAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan wujud perlakuan rasuah membabitkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menawarkan habuan wang kepada pensyarah untuk menaikkan gred pencapaian akademik dan lulus peperiksaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata suruhanjaya itu ada menyiasat kes sedemikian, termasuk melakukan pendakwaan.

"Memang ada isu rasuah membabitkan pelajar IPT. Inilah yang kita bimbang kerana kelompok berusia 40 tahun ke bawah merekodkan perlakuan rasuah agak tinggi dengan 55 peratus tangkapan adalah daripada kelompok berkenaan.

"Justeru, SPRM akan menggunakan pelbagai medium untuk meningkatkan kesedaran mengenai jenayah rasuah," katanya namun tidak menjelaskan butiran terperinci mengenai kes sedemikian yang dikesan setakat ini.

Katanya, SPRM juga mahu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM daripada 65.9 peratus ketika ini kepada 80 peratus, iaitu selaras tahap piawaian antarabangsa.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan Program Peningkatan Integriti dan Pencegahan Rasuah Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan MARA (IPMa) di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kuching, di sini semalam.

Sumber: BH Online

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com