Pastikan Semua Penumpang Pakai Jaket Keselamatan - Exco


ALOR SETAR - Pengusaha bot penambang di Jeti Tanjung Dawai di Daerah Kuala Muda terutama yang menawarkan khidmat bot ke Pantai Merdeka diingatkan agar memastikan penumpang mereka memakai jaket keselamatan.

Exco Pengangkutan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, walaupun jarak perjalanan antara kedua-dua lokasi itu hanya sekitar 10 hingga 15 minit, namun aspek keselamatan mesti dipatuhi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Mereka perlu patuh pada aspek keselamatan. Jangan bila ada kemalangan, baru nak ambil langkah keselamatan," katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas kejadian pagi semalam apabila dua pelancong tempatan maut apabila bot penambang yang membawa 12 penumpang dari Tanjung Dawai untuk menyeberang ke Pantai Merdeka terbalik di Kuala Sungai Merbok.

Menurut pihak polis, kipas bot berkenaan dipercayai terbelit pada tali sebuah bot pukat tunda yang merintangi laluan bot itu.   

Dimaklumkan mangsa memakai jaket keselamatan ketika kejadian.

Tajul Urus yang juga Adun Tanjung Dawai berkata, kejadian itu perlu dijadikan pengajaran kepada pengusaha bot penambang yang lain agar sentiasa mematuhi aspek keselamatan ketika mengendalikan bot mereka.

Tanjung Dawai yang terkenal sebagai tempat menjual makanan laut merupakan lokasi popular untuk orang ramai menggunakan bot ke kawasan perkelahan Pantai Merdeka dengan kadar tambang bot RM2 seorang. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com