PAS Kedah Tegaskan Tidak Tergugat Dengan PAN


ALOR SETAR - PAS Kedah tidak rasa tergugat walaupun Parti Amanah Negara (PAN) dilihat lebih agresif dan aktif berbanding parti asal mereka itu khususnya membabitkan beberapa kawasan di sekitar negeri ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi menegaskan bahawa PAS tetap istiqamah dalam agenda memperkukuhkan parti dengan menyusun pelbagai program dalaman secara konsisten.

"Tidak, Pas memfokuskan pemerkasaan parti menerusi prgram2 dalaman secara berterusan.

"PAS turun ke akar umbi menyelami denyut nadi rakyat dalam menongkah kehidupan seharian, inilah politik Pas berasaskan realiti dan tidak beretorik politik kosong," tegas beliau ketika ditanya Kedahnews.com tentang perkembangan parti itu membabitkan saingan sengit PAN.

Difahamkan bahawa PAS makin bergiat aktif di beberapa kawasan di negeri Kedah, khususnya di kawasan Kuala Kedah yang diketuai oleh Pengerusi PAN Kedah dan bekas Adun, Dr. Ismail Salleh, bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Phahrorazi Mohd Zawawi dan beberapa pemimpin lain.

Walau bagaimanapun, Ahmad Fakhruddin tidak memberi sebarang jawapan apabila ditanya mengenai Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar yang dikatakan lebih condong ke arah Pakatan Harapan, sebaliknya tidak sehaluan dengan kepimpinan PAS, malah teruk dikritik penyokong PAS di negeri Kedah.

Mengulas lanjut mengenai pendirian PAS mengenai perkembangan PAN di negeri itu, Pesuruhjaya PAS Kedah itu menegaskan bahawa pihaknya enggan ambil pusing tentang parti lain, namun lebih fokus kepada mendekati rakyat.

"Justeru itu, PAS tidak menghiraukan politik kepartian parti lain, tetapi komited mendekatkan PAS dengan rakyat," jelas beliau.

PAS sebelum ini menghadapi krisis dalaman yang hebat sehingga menyaksikan parti tersebut berpecah belah sehingga menyebabkan bekas Naib Presiden, Mohamad Sabu, bertindak keluar parti bersama rakan-rakan sehaluan dengannya dan membentuk parti baru, PAN.

Wujud dakwaan yang mengatakan bahawa pepecahan tersebut adalah berpunca dari campur tangan pihak tertentu yang memecah-belahkan parti Islam itu dari dalam dan menyusun agenda menjatuhkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari kerusi Presiden pada pemilihan pucuk pimpinan pada muktamar PAS, namun gagal.

PAN sebaliknya telah bertindak menyebelahi DAP dan PKR yang kemudiannya membentuk Pakatan Harapan setelah DAP menguburkan Pakatan Rakyat apabila menegaskan pendirian mereka yang enggan lagi bekerjasama dengan Abdul Hadi.

Mursyidul Am PAS yang baru dilantik baru-baru ini turut menegaskan bahawa beliau sudah berpatah arang dengan DAP dan PAN, sekaligus menandakan tidak akan bekerjasama dengan kedua parti tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com