Operator Kilang Maut Ditikam Ketika Bergaduh Di Sg Kob

Kejadian berlaku di di Taman Mutiara, Sungai Kob.
KULIM - Seorang operator pengeluaran kilang berusia 24 tahun maut ditikam dalam pergaduhan kira-kira jam 1.50 pagi kelmarin di Taman Mutiara, Sungai Kob.

Menurut sumber, pergaduhan itu berlaku apabila kira-kira lebih 20 lelaki lingkungan 20an hingga 40 tahun berkumpul di bangunan deretan kedai di Taman Mutiara.

"Kami nampak ramai berkumpul di situ lebih daripada 20 orang lelaki, mula kami tengok mereka sedang minum dan bersembang.

"Tapi lama kelamaan makin riuh dan bising seolah-olah mereka sedang bertengkar antara satu sama lain, kumpulan yang berkumpul di hujung jalan juga menghampiri satu lagi kumpulan bersama  mangsa,"katanya.

Bagaimanapun, katanya lebih kurang minit kemudian mereka mula berpecah dan beredar selepas berlaku pergaduhan.

"Sebab keadaan agak suram hanya ada cahaya lampu jalan saya tak pasti sangat mereka bergaduh macam mana, tapi bila kami tengok suasana sudah tenang baru kami ke situ.

"Sampai saja di lokasi berkenaan kami nampak ada seorang di dalam parit berlumuran darah. Mangsa di bawa rakan mereka ke hospital dengan sebuah kereta,"katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad mengesahkan kejadian dan berkata kejadian tersebut diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

"Bertindak atas maklumat sepasukan anggota polis telah ke lokasi berkenaan kira-kira jam1.50 pagi. Dapati mangsa sudah tiada dipercayai di bawa rakan ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa dipercayai ditikam di bahagian kiri dada menggunakan besi tajam oleh suspek utama berusia 26 tahun dalam pertengkaran tersebut,"katanya.

Katanya, enam suspek berusia 16 hingga 40 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut dan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com