Muslim Itali Solat Jumaat Luar Colosseum Tanda Protes


ROM – Ratusan Muslim menunaikan solat Jumaat di luar Colosseum di sini sebagai tanda bantahan terhadap sekatan tidak adil pelaksanaan kebebasan dalam mengamalkan agama Islam di Itali.

Penganjur berkata, mereka terpaksa mengadakan bantahan secara aman dan dianggap sebagai paling unik itu semalam susulan penutupan lima buah masjid sementara di negara Eropah tersebut konon atas sebab pentadbiran.

Umat Islam Itali mengesyaki pihak berkuasa tempatan sebagai memberi respons terhadap perasaan curiga secara keterlaluan ke atas komuniti Muslim akibat siri serangan pelampau di beberapa negara Eropah baru-baru ini.

Diskriminasi itu menyebabkan pihak majlis tempatan menutup tempat ibadah masyarakat Islam hanya disebabkan masalah remeh yang mudah diselesaikan, seperti alasan kurang jumlah tandas di sesebuah premis tertentu.

“Kami berasakan orang ramai cuba menuding jari sengaja mencari salah kami,” kata Francesco Tieri, seorang warga Itali yang sudah lama memeluk agama Islam dan merupakan penyelaras bagi beberapa kumpulan Islam setempat.

“Tiada keinginan politik untuk iktiraf bahawa kami ada di sini dan kami masyarakat yang aman. Kami terpaksa sewa tempat solat berjemaah – yang bagi kami adalah seperti bernafas, jika tidak buat, kami akan mati,” jelasnya lagi.


Menurut perangkaan rasmi, lebih 800,000 orang Islam menetap di Itali secara sah dan para pegawai kerajaan menganggarkan lagi seramai 100,000 orang mungkin tinggal di negara itu secara tetap tanpa dokumen yang sahih.

Ini bermakna masyarakat Islam mungkin membentuk lebih 1.5 peratus penduduk di Itali dan Islam merupakan agama kedua yang paling ramai dianuti di negara yang majoriti penduduknya beragama Kristian Roman Katolik itu.

Islam namun tidak pula diiktiraf sebagai agama rasmi di Itali, tidak seperti agama Yahudi atau Mormon, malah ramai komuniti Muslim dari rantau Afrika Utara dan Asia Selatan berasa didiskriminasi dari segi kaum dan agama.

Rom waima menempatkan masjid terbesar di dunia Barat, Moschea di Roma, dengan kapasiti 12,000 jemaah namun usaha untuk membina masjid bercorak tradisional di tempat lain kerap dibantah pihak majlis tempatan.

Lucunya, sekatan bagi rancangan pembinaan masjid dinyatakan atas pelbagai sebab teknikal daripada saranan saiz kemudahan parkir kereta sehingga aspek keharmonian seni bina dengan sesuatu kawasan kejiranan tertentu.

Lebih buruk, parti-parti berhaluan kanan sering menyeru pihak kerajaan agar segera mengharamkan mana-mana masjid yang dibina dengan dana dari penderma di luar Itali kerana bimbang konon disalurkan pihak pengganas.

Anggota Parlimen, Barbara Saltamartini dari parti Liga Utara yang terkenal antipendatang asing, menyifatkan protes aman umat Islam di luar mercu tanda terkenal ibu kota Itali itu sebagai “provokasi tidak boleh diterima”.

Islam sudah lama tiba di Itali seawal kurun kesembilan Masihi dan kini dianggarkan kira-kira 10,000 orang memeluk agama Islam pada setiap tahun di negara berkenaan. – Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com