Mereka Tidak Berhak Ganggu Mohd Najib Bentang #Bajet2017 - Nik Abduh


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Mas, Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengecam keras tindakan ahli parlimen Pakatan Harapan termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggangu pembentangan Bajet 2017 yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Nik Abduh menegaskan bahawa mana-mana ahli parlimen tidak berhak untuk mengganggu pembentangan Bajet 2017 tersebut memandangkan ia membawa agenda yang lebih besar demi kepentingan rakyat dan negara.

"Pembentangan bajet adalah hari besar untuk negara dan rakyat. Ia adalah hari dan masa khas untuk PM berucap membentangkan bajet.

"Tiada hak untuk mana-mana ahli parlimen mengganggu ucapan beliau yang penting itu walaupun wujud sindiran dan kecaman olehnya terhadap pembangkang," katanya dalam satu kenyataan khas, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen PAS itu turut memberi amaran kepada semua ahli parlimen supaya menjadi lebih profesional ketika membahaskan bajet yang dibentang Perdana Menteri nanti.

"Masa untuk Ahli Parlimen membahas dan menghujah bajet adalah selepas ini.

"Saya harap ia digunakan sebaik-baiknya oleh semua ahli parlimen tanpa membazirkan masa dengan perlakuan yang tidak profesional yang hujungnya mematikan masa dan peluang ahli-ahli parlimen yang di giliran akhir mengambil bahagian perbahasan dengan sempurna," tegas beliau dalam kenyataan tersebut.

Ahli Parlimen yang mewakili Pakatan Harapan dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak keluar dewan setelah mereka diminta keluar oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, setelah mereka sengaja membuat bising, mengganggu Mohd Najib membentang Bajet 2017, semalam.

Walau bagaimanapun, Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal kekal di dalam dewan sehingga pembentangan Bajet 2017 selesai.

Semua Ahli Parlimen PAS turut kekal memberi tumpuan pada pembentangan yang dibuat oleh Mohd Najib, kecuali Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang difahamkan cenderung menyokong Pakatan Harapan berbanding kepimpinan dan partinya sendiri. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com