Menjelang Deepavali: Peniaga Kecewa "Little India" Suram

PENGANUT Hindu membuat persiapan terakhir menjelang perayaan Deepavali yang hanya tinggal lima hari lagi di Lebuh Pasar yang dikenali sebagai Little India pada 23 Oktober 2016. - BERNAMA
KLANG - Perayaan Deepavali semakin hampir, namun keadaan di kawasan 'Little India' di Jalan Tengku Kelana, di sini terlalu suram tanpa ada perhiasan mahupun suasana kemeriahan sambutan.

Peniaga di kawasan itu melahirkan kekecewaan dengan suasana suram di kawasan tersebut kerana tiada dekorasi dibuat di sepanjang jalan yang diapit deretan kedai lama di kiri kanan jalan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Usahawan Little India Klang, N.P. Raman mendakwa kebiasaannya menjelang perayaan Deepavali, Little India akan dibanjiri orang ramai dan keadaan lalu lintas juga sesak, sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sambutan.

"Namun dengan hanya kurang seminggu sebelum perayaan Deepavali, tiada tarikan atau perhiasan diletakkan sepanjang Jalan Tengku Kelana," katanya kepada Bernama.

Raman yang juga Pengarah Urusan Thangaram Jewellers Sdn Bhd yang terletak di jalan itu, mendakwa tiada inisiatif dilakukan kerajaan negeri untuk mengindahkan Little India sejak mereka memegang kuasa pada 2008.

"Jika tiada tindakan daripada kerajaan negeri menerusi Majlis Daerah Klang bagi mengindahkan kawasan ini, persatuan kami akan menggantung kain rentang untuk mempromosikan perayaan Deepavali.

"Kami juga mahu lampu jalan di sepanjang Little India mengunakan lampu LED," katanya.

Sementara itu, antara pengasas Sri Kumaran Textile Sdn Bhd di Little India, N. Ravichandran berkata karnival jualan Deepavali yang diadakan di seluruh negara menjejaskan perniagaan di kedainya menjelang perayaan tersebut khususnya pada hujung minggu.

"Jualan di kedai saya merosot mendadak sehingga 40 peratus pada hujung minggu berikutan banyaknya karnival jualan tahun ini," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata pihaknya merancang mengadakan sambutan Rumah Terbuka Deepavali di Jalan Tengku Kelana sebagai usaha memeriahkan suasana Deepavali di kawasan itu.

Tinjauan Bernama mendapati ketika ini tiada sebarang hiasan di kawasan itu seperti yang didakwa peniaga, dan yang ada hanyalah khemah-khemah jualan untuk sambutan Deepavali.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com