Mara Terus Taja Pelajar, Tapi Bersyarat - Ismail Sabri


KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi jaminan akan terus menaja pelajar cemerlang di negara ini menerusi pemberian biasiswa dengan syarat pendapatan ibu bapa pemohon menepati kriteria yang ditetapkan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kriteria pendapatan ibu bapa pemohon telah mula dikuatkuasa sejak awal tahun ini susulan pindaan yang dilakukan agensi itu.

"Kerajaan tak pernah menghentikan tajaan Mara. Ada cakap-cakap bahawa Mara tidak lagi teruskan tajaan tapi sebenarnya kerajaan tetap meneruskannya cuma kerajaan  buat sedikit pindaan seperti melihat kategori pendapatan ibu bapa.

"Kalau pendapatan ibu bapa RM50,000 atau RM60,000 tak ada sebab mengapa mereka perlu bergantung kepada bantuan Mara," katanya kepada pemberita pada sidang media khas Bajet 2017 di sini, Rabu.

Ismail Sabri berkata, situasi ini berbeza dengan dahulu di mana pendapatan ibu bapa bukan syarat untuk pelajar mendapat tajaan.

"Kita tak ketatkan, cuma kita ada syarat. Dulu maknanya sesiapa sahaja boleh mohon," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, tindakan ini selaras  dengan tujuan kerajaan memberi biasiswa atau pinjaman pendidikan kepada pelajar untuk mengurangkan beban keluarga.

"Sebab itulah Mara meneruskan tajaan tetapi dengan syarat tertentu," katanya.

Beliau memberi contoh ibu bapa yang mempunyai pendapatan kurang dari RM8,000 sebulan di mana anak mereka akan mendapat tajaan keseluruhan iaitu yuran dan sara hidup.

Katanya, bagi pendapatan melebihi RM8,000 sebulan pula, pelajar mungkin akan mendapat separuh tajaan atau tajaan yuran sahaja.

"Bagi pendapatan lebih RM15,000 kita bantu mereka untuk dapatkan pinjaman dari bank panel Mara dan kami akan tanggung dari segi faedah, kita subsidikan faedah," katanya.

Beliau turut menasihatkan pelajar yang memohon bantuan kewangan Mara supaya membuat permohonan terlebih dahulu, sebelum mendaftar di universiti.

"Ada pelajar tak dapat tajaan bila memohon kepada Mara kerana mereka pergi dulu universiti, bila berada di sana baru mereka minta (tajaan) kalau macam tu susah kerana kita buat pemilihan berdasarkan bajet yang ada," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com