Majlis Syiah Di Johor Diserbu, 5 Ditahan - Pemimpin Syiah Malaysia


PETALING JAYA - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu majlis agama pengikut aliran Syiah di Johor Bahru, Khamis lalu.

Dalam serbuan kira-kira 10.00 malam itu, JAINJ menahan 5 lelaki, termasuk seorang penceramah, dan merampas beberapa buah kotak berisi buku, kata pemimpin Syiah Malaysia Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz.

“Ia hanyalah majlis bacaan doa dan kuliah dan diadakan di rumah kedai di Taman Daya, Johor Bahru. Tetapi lebih 30 pegawai yang membuat serbuan, termasuk anggota polis,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Lebih kurang 35 (peserta majlis) yang hadir, termasuk 6 kanak-kanak dan 6 perempuan. Mereka dibawa secara berasingan ke dalam van dan diambil keterangan, dan diminta hadir ke pejabat JAINJ pada tarikh berasingan.”

Beliau dimaklumkan tentang serbuan oleh salah seorang yang menyertai majlis tersebut.

“Lima lelaki yang ditahan itu mungkin kerana berkaitan ajaran Syiah, dan salah seorangnya memberi kuliah tanpa tauliah. Mereka dibebaskan semalam,” katanya lagi, sambil menjelaskan pihak berkuasa agama Johor sentiasa beri tekanan kepada mereka yang dilihat sebagai pengikut aliran Wahabi dan Syiah.

Minggu lalu, Jabatan Agama Islam Melaka menahan 2 lelaki manakala Jabatan Agama Islam Selangor menahan 50 warga Pakistan kerana disyaki terlibat menyambut Hari Asyura mengikut mazhab aliran Syiah.

Seperti Melaka dan Selangor, Johor turut melarang aliran Syiah daripada disebar dan diikuti rakyat negeri itu.

Pada 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa Syiah menyeleweng daripada Islam dan mengharamkan umat Islam Malaysia mengamalkannya.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut ketika dihubungi semalam tidak dapat mengulas serbuan itu kerana belum dimaklumkan tentangnya.

Sumber: FMT

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com