Langgar OSA, NGO Mahu Polis Siasat Muhyiddin


KUALA LUMPUR - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat membuat laporan polis meminta pihak berkuasa menyiasat bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah berkata tindakan segera perlu diambil kerana Muhyiddin dipercayai telah mendedahkan rahsia kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu didakwa berbuat demikian ketika mengadakan ceramah di Pantai Kamasek, Kijal, Terengganu pada 1 Oktober lepas dan semasa persidangan Dewan Rakyat di Parlimen pada Rabu lepas.

Beliau mendakwa Muhyiddin telah melanggar OSA yang berkaitan dokumen kerajaan diklasifikasikan sebagai rahsia dan tidak boleh didedahkan pihak menteri atau pegawai, kakitangan kerajaan mahupun bekas kakitangan kerajaan.

"Perbuatan beliau dipandang serius dan perlu ditangani segera kerana berbaur hasutan kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, Jumaat.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com