Krisis Ar Selangor: Kerajaan Negeri Digesa Bersikap Bertanggungjawab


KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Selangor harus bertanggungjawab terhadap isu gangguan bekalan air di negeri ini, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tiong Lai berkata kerajaan Pakatan Harapan di Selangor tidak boleh mengelak daripada bertanggungjawab dalam isu ini kerana semua empangan di negeri ini adalah di bawah kawalan mereka.

"Sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih tanpa gangguan," kata Tiong Lai kepada pemberita di konvensyen MCA Selangor di Wisma MCA di sini pada Ahad.

Tiong Lai yang juga Pengerusi MCA Selangor memberi amaran kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali supaya berhenti melepaskan tanggungjawab kepada orang lain.

Beliau mengulas dakwaan Azmin bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadi punca pencemaran yang membawa kepada penutupan loji rawatan air Sungai Semenyih.

Azmin mendakwa pencemaran itu adalah satu tindakan sabotaj untuk melemahkan kerajaan negeri.

Tiong Lai berkata tuduhan seperti itu perlu ditangani dengan serius dan beliau menggesa BN mengambil tindakan undang-undang terhadap Azmin bagi membersihkan namanya.

"Kita tidak boleh membiarkan isu air dipolitikkan demi kebajikan rakyat," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com