KKLW Sasar 1 Parlimen 1 RisSMart Menjelang 2020


BERA – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyasarkan penubuhan 1 Parlimen 1 Risda Smallhorders Mart (RisSMart) menjelang 2020, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setakat ini, terdapat enam buah RisSmart telah beroperasi di Kelantan, Selangor, Melaka, Kuala Lumpur, Johor dan Pahang dengan tujuh buah lagi dalam perancangan untuk direalisasikan tahun hadapan.

“Kita akan menjadikan sasaran 1 Parlimen 1 RisSMart sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian. Jika mahu diletakkan di bawah Risda sahaja, mungkin ia memerlukan modal yang tinggi.

“Jadi kita akan mengarahkan agensi lain di bawah kementerian untuk menjalin kerjasama dengan Risda seperti menerusi strategi lautan biru untuk bersama-sama merealisasikannya dan dengan (kerjasama) ini, saya yakin hasrat mewujudkan 1 Parlimen 1 RisSMart boleh dicapai,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian selepas merasmikan RisSMart ke-enam di Bera di Kerayong di sini semalam, melibatkan 17 usahawan sekitar daerah ini meliputi perniagaan seperti makanan, kraftangan dan perkhidmatan menggunting rambut.

Turut hadir ialah Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Pengarah Risda Mohd Najib A.Samad dan Pengarah Risda Pahang Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad.

Ismail Sabri berkata kewujudan RisSMart akan membantu usahawan memasarkan produk mereka dengan lebih tertib seperti di pasar raya besar yang lengkap dengan pembungkusan standard.

“Kita tahu produk yang dihasilkan usahawan ini seperti makanan sangat bagus namun tidak mendapat peluang untuk dipasarkan. Apa yang mereka boleh lakukan adalah jual di pasar malam, pekan sehari atau pasar tani.

“Kita tubuhkan RisSMart untuk bantu mereka dari pelbagai aspek dan jika usahawan ini tidak mempunyai modal yang cukup, kita akan bantu mendapatkan pinjaman untuk mereka memajukan produk mereka,” katanya.

Menurut Ismail Sabri peluang perniagaan di RisSMart juga terbuka kepada usahawan yang tidak berada di bawah Risda, asalkan mereka mempunyai produk atau perkhidmatan yang boleh diketengahkan bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk luar bandar.

Mengikut rekod kementerian, Risda setakat ini telah membangunkan seramai 11,740 usahawan dengan 1,423 daripadanya adalah di Pahang dan meletakkan sasaran untuk melahirkan 20,000 usahawan menjelang 2020.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar untuk meningkatkan pendapatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan supaya golongan belia luar bandar tidak lagi perlu berhijrah ke bandar,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com