Kempen Semarak HijauKuning Menjelang Final TM Piala Malaysia 2016


ALOR SETAR - Para peminat pasukan Helang Merah dijemput untuk menyemarakkan lagi semangat tradisi "hijau kuning" yang menjelang perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2016 yang bakal berlangsung pada 30 Oktober ini di Stadium Shah Alam.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya mengajak para peminat bola sepak di Kedah supaya menghangatkan lagi semangat itu dengan kibaran bendera, sepanduk, poster atau apa saja yang berlatar belakangkan hijau dan kuning.

"Jika di zaman 90an, ketika menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia, suasana di seluruh Kedah cukup meriah dengan kibaran bendera dan aktiviti menghangatkan suasana dengan apa sahaja benda berwarna hijaukuning.

"Ada menggantung kain rentang, bendera gergasi dan semua barang turut dicat dengan warna hijaukuning.

"Ayuh kita kembalikan suasana itu menjelang aksi Final TM Piala Malaysia 2016," tulis pengendali laman Facebook rasmi KFA itu.


KFA turut mencadangkan agar para penyokong Helang Merah menggantung bendera hijau kuning di rumah dan kedai, selain menyarankan agar mengibarkan bendera gergasi hijau kuning di setiap kawasan.

"1 penyokong 1 bendera hijaukuning, 1 rumah 1 bendera hijaukuning, 1 kawasan 1 bendera gergasi hijaukuning, 1 kedai 1 bendera hijaukuning," tulisnya.

Difahamkan bahawa Media KFA dan RTM Kedah akan bekerjasama untuk membuat liputan minggu ini di beberapa lokasi terpilih dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti menarik sepanjang hari menjelang perlawanan akhir pada Ahad nanti.


Skuad Kedah dijangka bakal berentap habis-habisan menentang pasukan Selangor dalam membawa misi membawa pulang piala berprestij itu ke bumi Jelapang Padi, selain membawa misi "balas dendam" ekoran tewas 0-2 kepada The Red Giants pada perlawanan akhir piala yang sama tahun lalu. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com