Jangan Nafikan Hak Pendidikan Kanak-Kanak – Pakar


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan perlu memastikan cadangan menggantung persekolahan selama setahun ke atas pelajar yang membuli pelajar lain tidak menafikan hak asasi kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.

Pakar undang-undang keluarga, wanita dan kanak-kanak dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata tindakan menggantung pelajar pembuli itu juga perlu dipastikan tidak bercanggah dengan sistem keadilan jenayah untuk pesalah kanak-kanak yang sedia ada.

“Walau apa pun yang terjadi atau apa sahaja kesalahan yang dilakukan, hak kanak-kanak iaitu mereka yang berusia 18 tahun ke bawah tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan. Walau apa cara sekali pun atau apa sahaja kesalahan yang dilakukan.

“Kalau sekolah ambil keputusan lebih awal sebelum dibawa ke mahkamah, atau sekiranya sekolah hendak cuba uruskan sendiri dengan menggantung pelajar dari belajar itu bermakna sekolah sendiri menafikan hak anak itu untuk belajar,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini semalam.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini berkata Kementerian Pendidikan mencadangkan agar pelajar sekolah rendah dan menengah yang membuli pelajar lain digantung persekolahan mereka selama setahun.

Mahdzir berkata kementerian bersedia untuk mendapat maklum balas daripada semua pihak terhadap cadangan berkenaan dan sekiranya cadangan itu dipersetujui, kementerian mungkin akan melaksanakannya pada Januari tahun hadapan.

Dalam pada itu, Noor Aziah berkata penubuhan sekolah dalam penjara atau Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney bagi pesalah muda atau pesalah juvana jelas membuktikan kanak-kanak perlu meneruskan persekolahan walau apa sahaja kesalahan yang dilakukan.

Katanya sebaliknya kanak-kanak tersebut perlu diberi ruang dan dibimbing, dan bukannya dijatuhkan hukuman.

“Mesti ada sebab di mana-mana yang menjadikan dia (kanak-kanak membuli) begitu. Kita sebagai anggota masyarakat dan ibu bapa perlu bertanggungjawab terhadap anak-anak kita yang membuli anak orang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi di Universiti Help Datuk Akhbar Satar berpandangan tindakan menggantung persekolahan selama setahun itu boleh menyebabkan kanak-kanak yang membuli terlibat dengan kesalahan yang lebih berat seperti mencuri, penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

“Memang dinyatakan pelajar akan dilibatkan dengan kerja kebajikan atau memasuki pemulihan akhlak sepanjang tempoh penggantungan, namun mampukah kawal mereka selama setahun itu?,” katanya.

Akhbar berkata antara tindakan yang boleh diambil adalah menghantar pelajar tersebut berjumpa kaunselor bagi membantu menangani masalah itu.

Dalam pada itu, beliau menyarankan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah berbincang dan mencari kaedah terbaik memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan kesalahan buli.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak berkata cadangan tersebut hendaklah dikaji semula berikutan tempoh menggantung persekolahan selama setahun dilihat agak lama dan menimbulkan pelbagai implikasi.

“Kita perlu melihat dari pelbagai sudut sebelum melaksanakan cadangan itu dan mungkin boleh mengurangkan tempoh menggantung persekolahan tersebut kepada enam bulan sahaja mengikut tahap keseriusan kes buli itu,” katanya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan bagaimanapun bersetuju dengan cadangan itu kerana ia dilihat sebagai satu tindakan efektif bagi memberi pengajaran kepada pelajar yang terlibat dengan kegiatan tersebut.

Katanya meskipun tindakan sedemikian dianggap keras dan membebankan pelajar namun kegiatan negatif di sekolah itu perlu dibanteras. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com