“Jangan Jadi Seperti Keldai Bertempik Atau Anjing Gila” – Abdul Hadi


KUALA LUMPUR – “Jangan berlagak seperti keldai yang bertempik atau anjing gila yang menyalak dan menerkam mangsanya.”

Itu pesanan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada seluruh pemimpin, ahli dan penyokong parti itu dalam berpolitik.

Kata beliau, Malaysia merupakan sebuah negara bermasyarakat majmuk, maka masyarakatnya tidak wajar dihuru-harakan demi kepentingan politik.

Justeru, katanya, sebarang protes untuk menyatakan rasa tidak puas hati perlu dilakukan secara berakhlak, bukan atas sebab peribadi seseorang, bangsa atau kaum.

“Lebih-lebih lagi berkaitan dengan hak kebebasan beragama mestilah dipandu dengan sempadan Islam.

“PAS wajib menilai manfaat dan mudarat mengikut Siyasah Syar’iyyah, Maqasid Syari’ah dan Fiqh Aulawiyyat, bukan sekadar menjadi pengecut dan pahlawan papan kunci bergoyang kaki menulis apa sahaja laksana burung kakak tua berkata-kata tanpa akal dan ilmu,” tegasnya dalam satu kenyataan media semalam.

Abdul Hadi menegaskan, PAS tidak mahu menjadi pembangkang seperti di negara barat, Timur Tengah; Korea, Taiwan, Amerika Latin atau mengikut cara masyarakat Arab di zaman jahiliyah.

Menurutnya, PAS wajib menerima yang baik daripada semua pihak sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Sehubungan itu katanya, pendirian PAS mahukan kerajaan yang bersih dengan cara yang bersih atau menolong kerajaan yang bersih atau terus bersabar menjadi pembangkang yang menasihat dengan baik dan tidak jahat.

Abdul Hadi dipercayai membuat kenyataan itu merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Pakatan Harapan bersikap meninggalkan Dewan Rakyat sewaktu pembentangan Bajet 2017 Jumaat lalu.

Beliau juga dipercayai merujuk kepada rancangan badan bukan kerajaan (NGO) anti kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan mahu mengadakan demonstrasi Bersih 5 pada November ini. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com