Ingatlah! Pemberi Dan Penerima Rasuah, Nerakalah Tempatnya...


AJARAN Islam menetapkan bahawa menjadi tanggungjawab umat Islam untuk melaksanakan aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan).

Dalam hal ini umat Islam berperanan untuk mengajak manusia agar beriman serta mentaati segala perintah Allah SWT dalam memastikan lima perkara asas iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dipelihara sebaik mungkin.

Pelaksanaan tanggungjawab itu hendaklah dilakukan dengan penuh amanah. Jika tidak, segala bentuk kemungkaran dan kemaksiatan akan berleluasa serta kebenaran tidak dapat ditegakkan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal, ayat 27:
“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
Masalah rasuah yang berleluasa dalam masyarakat pada masa ini adalah sebahagian daripada perkara mungkar malah merupakan satu jenayah yang membimbangkan semua pihak. Apatah lagi, ia telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat di semua tempat, persis penyakit barah yang sedang merebak dalam tubuh negara.

Andaikan perkara ini berlanjutan, sudah pasti ia semakin membesar, memakan dan mereput tonggak-tonggak utama negara, sekali gus menggugat keimanan serta menggoncang ketetapan hati sehingga mengakibatkan bencana besar kepada negara.

Rasuah yang berleluasa boleh menghakis sistem keadilan, nilai-nilai murni dan menggugat pemerintahan secara demokratik. Seterusnya, bakal lahir anggota masyarakat berperibadi buruk lagi hina kerana rela menggadai maruah agama dan diri demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah serta sebagainya.

Berdasarkan laporan, lazimnya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam adalah meliputi perbuatan meminta dan menerima suapan, menawar dan memberi suapan, membuat tuntutan palsu serta menyalahgunakan kedudukan jawatan untuk tujuan suapan. Barangkali kita terlupa bahawa Allah SWT telah menegaskan di dalam Surah al-Baqarah ayat 188:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:
“Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka.” - Riwayat Tabrani.
MENGAPA RASUAH BERLAKU

Persoalan besar timbul ialah mengapa amalan jenayah rasuah ini berlaku? Berdasarkan laporan antara lain ia berpunca daripada kegagalan individu mengawal nafsu, tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Sememangnya ini bertepatan dengan pesanan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ka’ab bin ’Iyadh r.a.:
“Sesungguhnya setiap umat ditimpa fitnah (ujian) dan fitnah bagi umatku ialah harta.”
Dalam nada yang sama, Imam Ibnu al-Qayyim menegaskan bahawa antara perkara yang menjadi penghalang bagi umat Islam ialah terjadinya fitnah syubhat (kekeliruan) dan fitnah syahwat (dorongan hawa nafsu).

Secara tuntas, mereka yang terlibat dengan jenayah ini membawa implikasi buruk terhadap sistem pembahagian kekayaan negara yang tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasanya kezaliman dalam masyarakat.

Lebih malang, ia merugikan golongan berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat yang tidak terlibat secara langsung dengan pengurusan harta negara.

Dengan adanya agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kes jenayah rasuah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), diyakini lebih banyak manfaat akan dapat diraih oleh masyarakat dan negara.

Namun, perjuangan ini tidak membawa apa-apa kesan sekiranya tiada kebersamaan daripada pelbagai pihak dan masyarakat untuk memastikan rasuah dibanteras.

Justeru, kesedaran, sokongan dan peranan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong segala aktiviti dan usaha mencapai matlamat.

Diharapkan keseriusan kita memerangi jenayah rasuah ini secara bersama dapat melahirkan urus tadbir yang baik dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta sebagaimana dituntut oleh syarak.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 2:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
Ingatlah! Isu rasuah adalah isu rakyat. Untuk itu, setiap rakyat perlu benar-benar merasai kehadiran SPRM seolah-olah ia kepunyaan bersama.

Di samping itu, SPRM juga diharapkan dapat mengekalkan nilai integriti dan sentiasa menjalin kemesraan dengan rakyat di sebalik ketegasannya membela rakyat memerangi perasuah secara habis-habisan.

PEDOMAN

* Nilai integriti, sifat amanah dapat menjadi benteng kepada sebarang perbuatan negatif termasuk rasuah.

* Menjadi golongan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran bakal menambahkan kemakmuran bumi Allah dengan benih-benih kebaikan.

* Prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban hendaklah diserapkan ke dalam minda masyarakat agar wujud rasa tanggungjawab dalam diri.
“Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104)

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com