Imigresen Buru Agen, Sindiket "Seludup" Warga Asing


KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen sedang memburu ejen atau sindiket terbabit dalam menyeludup masuk dan keluar warga asing melalui pintu masuk utama negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengesan ejen dan dalang di sebalik aktiviti berkenaan.

"Kegiatan penyeludupan itu wujud kerana ada permintaan dan penawaran. Malah, saya sendiri telah menemui pihak polis dan pihak berkuasa lain bagi memastikan pembolosan tidak berlaku," katanya kepada Bernama semalam.

Beliau mengulas laporan media bahawa sekumpulan pegawai imigresen sanggup menjadi pengkhianat apabila menerima upah antara RM200 hingga RM2,500 bagi memudahkan laluan keluar masuk warga asing dari pelbagai negara berjumlah lebih 16,000 orang.

Hasil kegiatan sejak 2014 itu, kumpulan pegawai penguatkuasa berkenaan telah mengumpul pendapatan sampingan kira-kira RM18 juta.

Mustafar menegaskan kakitangan imigresen yang bersengkokol dengan sindiket atau ejen pemerdagangan manusia akan dikenakan tindakan tatatertib, termasuk dibuang atau digantung kerja.

"Sebagai pegawai penguat kuasa, pegawai imigresen perlu bertindak secara profesional dan berintegriti.

Jika pelancong atau warga asing tidak memenuhi syarat yang telah ditetapkan, pegawai imigresen tidak boleh benarkan mereka masuk dan segera ambil tindakan... jangan juga ambil rasuah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga mengkaji prosedur operasi standard (SOP) di pintu masuk negara ketika ini bagi tujuan penambahbaikan.

"Kita akan lihat jika ada kelemahan dalam SOP sedia ada sama ada ia membuka peluang kepada rasuah atau penyelewengan," katanya. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com