Ibu Geram Anak Gadis Tak Dengar Kata


KUALA LUMPUR - Seorang wanita terpaksa ditenangkan di lokasi operasi Polis Trafik, di Jalan Bangsar, lewat malam semalam.

Difahamkan, wanita itu geram sangat dengan tindakan anak perempuannya yang menunggang motosikal tanpa kebenaran sehinggakan disaman dalam Operasi Bersepadu Trafik Kuala Lumpur.

Ketika di lokasi operasi, wanita itu yang hadir bertopang, cuba merapati anak perempuannya tetapi dihalang dan ditenangkan anggota trafik wanita.

Ibu itu yang hadir bertemankan wanita lain dipercayai jirannya kemudian diminta pulang selepas kira-kira tiga minit berada di lokasi operasi.


Sementara itu, lebih tiga ratus saman dikeluarkan manakala 83 motosikal disita dalam Operasi Bersepadu Trafik di ibu negara sehingga kira-kira 1 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata operasi bermula pada 10.30 malam semalam.

Katanya, operasi itu bertumpu kepada penunggang motosikal, selain mencari mereka yang mempunyai waran tangkap.

"Dalam operasi ini, lebih 500 motosikal diperiksa. Daripada jumlah itu, 381 saman dikeluarkan manakala 83 motosikal disita atas pelbagai kesalahan termasuk tida lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

"Selain itu, kami turut mengeluarkan 11 notis amaran kepada individu yang mempunyai rekod saman tertunggak dalam operasi berkenaan," katanya pada sidang media di Jalan Bangsar, di sini.

Operasi itu membabitkan empat lokasi iaitu Jalan Bangsar, Jalan Genting Klang, Jalan Raja Laut dan Jalan Loke Yew.

Sumber: myMetro

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com