Hentikan Kezaliman Terhadap Etnik Rohingya - NGO

Sebahagian etnik Rohingya di Malaysia yang hadir pada majlis penyerahan memorandum.
ALOR SETAR - Majis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama NGO Islam Asean menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan pengaruhnya untuk memberi tekanan kepada pemerintah Myanmar agar menghentikan pembunuhan ke atas etnik Rohingya serta mengembalikan hak kewarganegaraan mereka.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya juga menuntut PBB untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melakukan kezaliman terhadap komuniti itu.

“Itu antara tujuh tuntutan yang disampaikan kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon, yang dinyatakan dalam satu memorandum. Tuntutan lain termasuk membenarkan NGO atau misi kemanusiaan disalurkan dengan membuka laluan masuk ke daerah terlibat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga meminta Myanmar menerima kembali etnik Rohingya yang melarikan diri ke pelusuk negara dengan menempatkan mereka di kawasan tertentu di negara itu.

“Perlu diwujudkan satu Suruhanjaya perdamaian untuk menyiasat dan menangani kezaliman terhadap masyarakat Rohingya selain menggalakkan proses perdamaian di negara itu.

"Tuntutan lain termasuk membayar pampasan yang mencukupi kepada mangsa keganasan itu,” katanya.

Mohd Azmi berkata, memorandum itu diserahkan kepada wakil di Wisma UN Kuala Lumpur, kelmarin dan turut dihadiri hampir 2000 warga Rohingya di Malaysia.

“Kami prihatin dan bimbang dengan apa yang berlaku di Barat Arakan iatu daerah Muangdaw di Myanmar yang dilaporkan kini tegang akibat konflik antara tentera kerajaan Myanmar dengan etnik Rohingya yang merupakan penduduk majoriti di situ,” katanya.

Menurutnya, serangan dilancarkan sewenang wenangnya terhadap masyarakat awam Rohingya di beberapa kampung

"Etnik minoriti ini sudah lama kehilangan kewarganegaraan di tanah kelahiran mereka sendiri iaitu Arakan yang kini ditukar kepada Rakhine.

“Penderitaan mereka diiktiraf sendiri oleh PBB yang melaporkan etnik Rohingya adalah etnik paling tertindas di dunia.

"Kami gesa pihak tentera pengaman PBB dihantar ke kawasan krisis untuk memastikan keselamatan penduduk awam terutama etnik Rohingya dilindungi,” katanya.

Mohd Azmi berkata, malangnya komuniti Asean mahupun antarabangsa gagal bertindak berdasarkan perundangan sedia ada, menyebabkan keganasan itu berterusan berlaku.

Sebelum ini Mapim bersama beberapa NGO, antaranya Majlis Ulama Rohingya (MUR), Serantau Muslim, I-Reach, Humanity Malaysia (Duta Khas Myanmar), Salimah Malaysia, Chinese Muslim Humanitarian, Malaysia Relief Agency (MRA), Yayasan Amal Malaysia, Rahmat Care, GAMIS, Council for Humanitarian of Sheikul Islam Office Thailand; bersetuju untuk menyalurkan bantuan kecemasan kepada etnik Rohingya di daerah Muangdaw.

Selain menyerahkan memorandum kepada kedutaan Myanmar dan Kofi Annan Commission, turut diwujudkan kempen ‘Food Flotilla For Myanmar’ dan diuarkan kepada seluruh kedutaan Asean, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com