Helang Merah Dipotong Tiga Mata, Pahang Kekal Di Liga Super

Pemain pasukan Kedah Bang Sueng Whan (kiri) dan Syafiq Ahmad (tiga,kiri) mengasak pemain Pahang daripada mendapatkan bola pada perlawanan Liga Super antara Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman pada 3 Ogos lalu.
PETALING JAYA - Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dilucut hak kemenangan ke atas Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 3 Ogos lalu kerana menurunkan pemain yang digantung.

Hukuman tersebut diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertibnya memutuskan Kedah bersalah kerana menurunkan Mohd Rizal Ghazali yang telah dilayangkan tiga kad kuning sebelum itu.

Selain itu, Kedah turut didenda RM5,000 manakala jaringan tunggal Shane Smeltz dibatalkan.

Susulan itu, Pahang diberi  kemenangan 3-0 dan layak mendapat tiga mata untuk perlawanan berkenaan sekaligus menyelamatkan pasukan tersebut daripada tercicir ke Liga Perdana pada musim depan.

Bagaimanapun, hukuman itu tidak menggugat kedudukan Kedah di tempat ketiga Liga Super kerana memiliki jurang mata yang selesa.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menerima hukuman tersebut dengan hati yang terbuka walaupun menyedari kekeliruan itu berlaku kerana perlawanan tersebut ditunda.

"Ketika perlawanan itu berlaku sedikit kekeliruan kerana perlawanan ini telah di tunda daripada tarikh asal yang telah ditetapkan. Selepas itu kita juga terlibat dengan perlawanan Piala Malaysia, dua pertandingan dalam masa seminggu memang telah mengelirukan pegawai pasukan.

"Saya menerima keputusan untuk menghadiahkan tiga mata kepada Pahang dan saya yakin pihak Persatuan Bolasepak Kedah (KFA)  juga menerima keputusan penganjur pertandingan ini.

"Rizal tidak melakukan kesilapan dan kesilapan yang berlaku adalah dengan tidak sengaja dan saya lega kerana keciciran tiga mata ini tidak akan mempengaruhi kedudukan Kedah pada carta liga. Kita akan bermain untuk perlawanan akhir bertemu Felda United di Stadium Darul Aman Jumaat ini," katanya.

Hasil hukuman ke atas Kedah dan kelebihan kepada Pahang, skuad Terengganu dan Pulau Pinang terpaksa bersaing di Liga Perdana untuk musim depan kerana tidak dapat mengejar mata yang dimiliki skuad Tok Gajah.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com