Hebat Manhaj Dakwah Rasulullah SAW Tiada Tolok Bandingnya


DAKWAH adalah mengajak kepada perintah Allah dan Rasul. Dalam al-Quran kalimah dakwah ditemukan sekitar 198 kali yang menunjukkan kewajipan dakwah tidak berlaku secara berkelompok tetapi meliputi setiap individu Muslim.

Ia merupakan tugas bersama bukan sekadar tugas pendakwah atau ustaz yang sering tampil di televisyen, radio, masjid, surau atau media massa yang terkini. Secara umumnya, aktiviti agama sering dilakukan di masjid atau surau di mana golongan yang tertarik untuk menyertai aktiviti tersebut merupakan golongan “beragama” , seolah-olah dianggap “tertutup” untuk bukan Islam atau Muslim yang jauh daripada Islam.

Sukar untuk menarik minat golongan ini untuk hadir ke masjid dan surau, malah wujudnya tanggapan, kedua-dua tempat itu hanya sesuai untuk orang tua sahaja. Allah SWT berfirman mafhumnya:
“Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikianlah orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104).
Kurun ke-21 ini disebut sebagai abad post-modern society, post-industrial society dan information society. Apapun istilahnya, masyarakat didominasikan oleh teknologi komunikasi. Oleh itu, dakwah perlu selari dengan perkembangan pesat hari ini iaitu pendakwah perlu meningkatkan kemahiran dan kepakaran bagi menguasai setiap bidang ilmu khususnya penguasaan laman sosial.

KEHEBATAN MANHAJ DAKWAH RASULULLAH

Sirah merakamkan pendekatan santai Rasulullah SAW menyantuni masyarakat gelandangan di sudut pasar Kota Madinah.

Diriwayatkan setiap orang yang menghampiri pengemis Yahudi buta tersebut akan diingatkan dengan kata-kata: "Wahai saudara-saudari, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, pembohong, tukang sihir. Apabila mendekatinya kamu semua akan dipengaruhinya"

Namun setiap pagi Rasulullah mendatanginya membawa makanan dan tanpa berkata sepatah kata, baginda menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun dia selalu berpesan kepada sesiapa sahaja supaya tidak mendekati orang yang bernama Muhammad.

Rasulullah melakukannya hingga menjelang kewafatan baginda. Setelah baginda wafat, tiada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis buta tersebut. 

Suatu hari Sayidina Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah Sayyidatina Aisyah r.a. Beliau bertanya : Wahai anakku, adakah sunah kekasihku (Rasulullah) yang belum ayah lakukan? Aisyah menjawab : Wahai ayahku, engkau adalah seorang ahli sunah, hampir tiada satu pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sahaja

Apakah itu? : Abu Bakar bertanya. Setiap pagi Rasulullah selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta matanya. Dia ada di sana: Aisyah berkata.

Keesokan harinya Abu Bakar ke pasar dengan membawakan makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Beliau mendekati pengemis itu dan memberikan makanan kepadanya. Ketika Abu Bakar mula menyuapinya, si pengemis itu marah dan berteriak: Engkau siapa! Abu Bakar menjawab: Saya orang yang biasa.  

Bukan! engkau bukan orang yang biasa mendatangiku, jawab si pengemis tua itu. Apabila dia datang kepada saya tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku selalu menyuapiku dengan lembut.

Pengemis itu meneruskan kata-katanya. Abu Bakar tidak dapat menahan air matanya. Dia menangis sambil berkata kepada pengemis itu: Saya memang bukan orang yang biasa datang kepadamu. Saya adalah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Dia adalah Nabi Muhammad SAW.

Selepas pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar, dia pun turut menangis. Kemudian dia bertanya: Benarkah begitu? Selama ini saya menghinanya, memfitnahnya, namun dia tidak pernah memarahiku. Malah dia mendatangiku dengan membawa makanan kepada saya setiap pagi. Dia begitu mulia. Pengemis buta itu akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di hadapan Abu Bakar.

Lihatlah, bagaimana kesabaran dan kasih sayang itu mampu membawa seseorang ke jalan kebenaran. Tanpa kesabaran dan kasih sayang, pasti sukar untuk berdakwah. Inilah akhlak Rasulullah SAW yang menggambarkan Islam sebagai budaya kehidupan.

Dakwah adalah amar makruf dan nahi mungkar iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang daripada kejahatan. Inilah hubungan ta’awuniyyah (tolong menolong) sesama individu, masyarakat mengerjakan kebaikan dan takwa, menolak sebarang perlakuan membawa dosa serta maksiat dengan segala kemampuan yang ada.

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa daripada kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya, dan jika tidak mampu, maka ingkar dengan hati, yang demikian itu selemah-lemah iman.” - Riwayat Ahmad.
Apabila mendapati sesuatu kemungkaran dalam masyarakat, setiap individu perlu memastikan dirinya memahami keburukan berkenaan dan cara mengatasinya. Kemudian perlu memahamkan masyarakat tentang kesan negatifnya. Apabila masyarakat sedar dan mendapat sokongan tertentu, tindakan secara fizikal perlu diambil.

Bagaimanapun, perlu ada kuasa untuk menghapuskan keburukan itu dan jangan sekadar berasa benci serta mengkritiknya sahaja. Namun, hal ini bukan tugas seseorang secara individu, sebaliknya bersifat kolektif masyarakat Islam seluruhnya.

Allah SWT berfirman menyatakan prinsip ini bermaksud:
“Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang berbuat kejahatan.” (Surah al-Taubah : 71).
Dakwah itu mendekati bukan menjauhi, menyeru bukan menghukum, mengajak kepada kebaikan dan menjauhi kejahatan. Inilah dakwah.

Dakwah tidak hanya terhad kepada seruan secara lisan, tetapi harus menggunakan media terkini asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Fenomena perkembangan teknologi masa kini telah mencorak pemikiran masyarakat ke arah menerima sesuatu maklumat secara tepat, praktikal dan mudah.

Amar makruf dan nahi mungkar merupakan budaya masyarakat Islam berasaskan sikap tolong-menolong dan tanggungjawab bersama masyarakat yang merupakan pemimpin dalam peringkat masing-masing. Rasulullah bersabda:
“Sesungguhnya seorang mukmin kepada yang lain seperti satu binaan, sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com