Hati-Hati Beli Produk Kosmetik Secara Online


GEORGE TOWN - Kementerian Kesihatan menggesa pengguna kosmetik agar lebih berhati-hati sebelum membeli kosmetik terutama dalam talian.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata setiap item yang mendapat pengesahan kementerian mempunyai pelekat hologram yang boleh dikesan oleh pengimbas pada pembungkusnya.

Setiap kedai mempunyai mesin pengimbas dan pembeli boleh memeriksa produk itu. Jika hologram tidak kelihatan, ia bermakna item itu tidak mendapat kelulusan kementerian.

"Saya harap orang ramai berhati-hati kerana penjualan kosmetik palsu melalui internet semakin meningkat," katanya pada sidang media pada Ahad.

Baru-baru ini, sekeping gambar wajah wanita yang mukanya mempunyai kesan terbakar selepas menggunakan kosmetik yang dibeli dalam talian, viral di media sosial, mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan produk kosmetik yang dibeli dalam talian.

Susulan insiden itu, Kementerian Kesihatan melarang penjualan 10 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik iaitu Melan: Off Intensive Mask, Melan: Off Cream, Afrina NightCream, Afrina Daily Cream, Krim Herba Kemboja, Day Pinky Cream, Night Glow Cream, Debella Nadien Glow Night Cream, Mekar Semilu Scrub Muka Mutiara BeautyvCollection dan Mekar Semilu Cream Mekarsutra. -Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com