Guru Bina Aplikasi Pembelajaran Lebih Mudah, Seronok Di Sekolah

Cikgu Izz bersama aplikasi MyD hasil ciptaannya yang bakal dilancarkan di SK Pedas, 2 November ini.
REMBAU - Mudah dan menyeronokkan, itulah antara tujuan seorang guru membina aplikasi untuk pelajarnya menguasai Bahasa Inggeris, berbanding merujuk kamus yang tidak dikemaskini.

Awal tahun ini, seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pedas, Nurul Izzwaida Norizan mereka bentuk buku MyD yang membolehkan pelajar memasukkan perkataan baharu yang dipelajari.

Kejayaan aplikasi itu memberi motivasi kepada guru berusia 31 tahun ini untuk menjadikan ia sebuah aplikasi telefon pintar bernama Stylised @myD atau nama ringkas bagi My Dictionary.

Menerusi aplikasi ini, pencarian perkataan menjadi lebih mudah dan interaktif, ia menggalakkan pelajar mengambil gambar, menamakan objek tersebut dan membuat penandaan.

Dengan menaip nama objek dalam Bahasa Melayu, ia akan diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris bersama cara sebutan perkataan itu.

Salah seorang pelajar, Aida Husna Zaidi, 9, berkata dia selalu menggunakan aplikasi ini walaupun ketika bercuti bersama keluarga di Pahang.

“Ketika pergi ke taman tema, saya dapat belajar perkataan baharu seperti kolam (pool) dan pelampung (buoy). Saya rasa seronok untuk belajar,” jelasnya.

Malah, aplikasi ini juga terkenal dan digunakan di kalangan ibu bapa.

Ibu kepada Aida, Azura Abdul Hamid, 39, berkata aplikasi ini digunakan untuk mengajar perkataan Bahasa Inggeris yang baharu kepada anaknya.

“Ia sangat mudah untuk digunakan. Dengan tag sahaja kami dapat mencari perkataan itu. Dengan aplikasi ini juga saya gunakan untuk mengajar anak lelaki saya yang berumur enam tahun,” katanya.

Menurut Nurul Izzwaida atau lebih mesra disapa Cikgu Izz, struktur program pembelajaran MyD direka bagi memudahkan pelajar menulis karangan yang memerlukan mereka menjawab soalan seperti, apa, mana dan bila.

Tambahnya, lain daripada yang lain, aplikasi ini bertindak sebagai jurnal di mana pelajar boleh menyimpan perkataan bersama-sama gambar yang dirakam.

Walaupun pelbagai cabaran yang dilalui Cikgu Izz, namun kejayaan ini merupakan kenangan manis buatnya.

Kekurangan sumber kewangan serta gagal mendapat pertolongan menerusi Program Pelaburan Cradle adalah cabaran utama Cikgu Izz.

“Saya percaya konsep ini bagus, jadi saya meminjam duit daripada ayah, keluarga mertua dan juga adik beradik saya,” katanya.

Cikgu Izz berjaya mengumpul RM50,000 untuk projek ini, di mana RM45,000 bagi pembangunan aplikasi daripada agensi Snappymob, serta RM 5,000 untuk yuran hak cipta dan cap dagangan.

Setakat ini, Nurul Izzwaida tidak mempunyai perancangan untuk menjana keuntungan daripada aplikasi ini dan ia boleh diperoleh secara percuma.

“Walaupun pelbagai cabaran yang saya lalui tetapi jika ia dapat memberi manfaat kepada pelajar ia sudah mencukupi, selain terus mendapat sokongan keluarga," jelasnya.

Pengetua SK Pedas, Ramlan Ramly yang menyokong usaha Cikgu Izz, menjelaskan bahawa perubahan dalam kaedah pembelajaran diperlukan bagi sekolah di dalam kawasan separa bandar.

Aplikasi MyD akan dilancarkan pada 2 November di SK Pedas.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com