Gerakan Desak Penjelasan Tentang Kedudukan Ekonomi P.Pinang

Datuk Liang Teck Meng
KUALA LUMPUR – Parti Gerakan menuntut jawapan daripada badan pemikir Pulau Pinang, Institut Pulau Pinang, berhubung kedudukan ekonomi negeri itu sepanjang berada di bawah teraju DAP.

Setiausaha Agungnya, Datuk Liang Teck Meng berkata baru-baru ini beliau telah mengemukakan 10 soalan berhubung keadaan ekonomi negeri kepada Institut Pulau Pinang khusus untuk dijawab oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Lim Kim-Hwa.

“Namun saya sangat kecewa kerana Dr Lim enggan menjawab soalan-soalan ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Keengganan untuk menjawab soalan itu telah menimbulkan spekulasi bahawa Dr Lim sebenarnya menghadapi tekanan daripada Ketua Menteri,Lim Guan Eng, katanya.

Liang sebelum ini dilaporkan beberapa kali mempersoal kedudukan ekonomi Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2015 sambil merujuk kepada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Pada sidang media sama, beliau berkata Gerakan akan menganjurkan Forum Awam Pasca Bajet 2017, Jumaat ini, bagi membincangkan intipati Bajet 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, minggu lepas. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com