Garis Panduan Hiburan Elak Tersasar Dari Syarak - Jamil Khir


MELAKA - Garis panduan hiburan amat penting bagi memastikan umat Islam tidak tersasar daripada landasan syarak terutamanya dalam menghadapi perubahan zaman yang menampilkan dunia tanpa sempadan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata garis panduan itu juga penting rentetan hiburan masa kini semakin meluas dan bercampur aduk dengan perkara yang melalaikan serta diharamkan.

Justeru itu, katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan garis panduan hiburan untuk pihak yang terlibat dengan industri hiburan tanah air dalam melaksanakan sesuatu program atau acara.

"Islam tidak melarang umatnya berhibur dan mendengar muzik...seni suara yang sesuai dengan halwa telinga dapat menenangkan hati dan menghiburkan jiwa.

"Namun, menurut perspektif Islam karya seni itu perlulah mendorong kepada kebaikan serta mengajak kita kepada tauhid dan pengabdian diri kepada ALLAH serta melahirkan manusia berakhlak mulia," katanya di sini, hari ini.   

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Festival Nasyid Kebangsaan Ke-23 di Bukit Katil oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Pada majlis itu, kumpulan Nahwan Nur dari Selangor muncul juara Kategori Moden dan kumpulan CG Fannan dari Kelantan menjuarai Kategori Tradisi dengan  masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 serta piala iringan.

Jamil Khir berkata garis yang memisahkan sama ada hiburan itu dibolehkan atau sebaliknya menurut Islam adalah sejauh mana hiburan itu mencapai maksud dan prinsip Islam, yang menekankan kesejahteraan manusia serta menolak sebarang kerosakan.

"Unsur yang mempromosikan pemikiran dan kefahaman ajaran selain Islam hendaklah dielakkan dalam program hiburan. Dalam hal ini, antara elemen penting menentukan hiburan itu dibolehkan ialah keperibadian serta penampilan artis, persembahan iaitu aspek seni pentas, nyanyian dan tarian," jelasnya. – Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com