Gadis Masih Hidup Lepas Jatuh Atas Kereta Dari Tingkat 17

Marina Lebedeva dirawat di unit rawatan rapi selepas terjatuh dari tingkat 17 sebuah pangsapuri di Moscow, baru-baru ini. - MAIL ONLINE
MOSCOW - Seorang remaja perempuan Rusia dianggap bernasib baik apabila masih hidup selepas terjatuh di atas sebuah kereta Volkswagen Golf daripada tingkat 17 sebuah pangsapuri di sini, baru-baru ini.

Menurut portal Mail Online, kejadian tersebut berlaku selepas remaja berusia 19 tahun itu, Marina Lebedeva bergaduh dengan kekasihnya di balkoni pangsapuri terbabit.

Seorang saksi kejadian berkata, dia terdengar jeritan remaja terbabit yang terjatuh pada ketinggian kira-kira 54 meter sebelum melihat mangsa terlantar di atas bumbung kereta berkenaan.

"Kemudian mangsa berguling jatuh ke atas tanah," kata saksi berkenaan yang merupakan seorang penjaga bangunan.


Lelaki itu kemudiannya mendapatkan bantuan orang ramai untuk menghubungi pasukan kecemasan.

Menurut pihak hospital yang merawat Lebedeva, remaja itu mengalami beberapa keretakan tulang dan kecederaan di bahagian kepala, dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sumber polis berkata, siasatan kes itu masih dijalankan dan kejadian berkenaan dipercayai tiada kaitan dengan cubaan membunuh diri.

Sementara itu, pemilik kereta terbabit, Ivan Kulakov berkata, remaja berkenaan dipercayai bergaduh dengan kekasihnya sejak sepanjang hujung minggu lalu berdasarkan maklumat jiran.

"Abaikan kerosakan kereta saya kerana yang lebih penting remaja itu masih hidup," katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com