Disebut Dalam #Bajet2017, Nasi Lemak Anak Dara Makin Popular


TUAH Siti Hajjar Ahmad bukan sahaja popular menerusi media sosial baru-baru ini, tetapi turut menjadi sebutan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Apa tidaknya, peniagaan kecil ‘Nasi Lemak Anak Dara’ diusahakannya di Shah Alam, Selangor menjadi contoh kejayaan usahawan kecil ketika beliau berucap pada pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat petang Jumaat.

Najib menyebut ‘Nasi Lemak Anak Dara’ di Dewan Rakyat, Parlimen, ketika mengulas kepelbagaian makanan yang boleh didapati dengan murah dan sedap dalam negara ini.

“Saya ambil contoh makanan yang sedap dengan harga yang boleh tahan.

“Sebagai contoh, Nasi Kandar Vanggey. Dan terkini pula, saya dapat tahu tentang Nasi Lemak Anak Dara yang diusahakan oleh seorang graduan wanita muda oleh universiti tempatan.

“Masih ada banyak restoran murah di negara ini dengan makanan yang sedap,” katanya yang turut bersimpati dengan nasib Siti Hajjar apabila disaman pihak berkuasa tempatan pula.


Ucapannya yang menyelit peniagaan ‘Nasi Lemak Anak Dara’ turut mengundang tawa hadirin di Dewan Rakyat.

Najib yang juga Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2017  bertajuk ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh.’  – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com