DAP Risau Ayat "Mandi Darah" Baju Merah?


KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mahu polis mengambil tindakan tegas ke atas kumpulan Baju Merah yang menentang rancangan kumpulan antikerajaan untuk mengadakan protes antikerajaan secara besar-besaran di ibu negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang mengetuai kumpulan Baju Merah telah berjanji seramai 30,000 anggota kumpulan itu akan berhimpun menentang Bersih 5 pada 19 November depan.

“Beliau (Jamal) menyatakan mereka akan melakukan apa sahaja untuk menghentikan perhimpunan Bersih walaupun terpaksa bermandi darah. Adakah polis akan siasat kenyataan `bermandi darah’ tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Teresa berkata, walaupun Jamal baru-baru ini menjelaskan kenyataannya `bermandi darah’ itu hanya ditujukan kepada kumpulan Baju Merah dan bukannya pihak lain, namun ia sesuatu yang serius.

Kumpulan antikerajaan dan parti pembangkang merancang kerjasama untuk mengadakan perhimpunan haram jalanan Bersih 5 tanpa kebenaran pihak polis secara besar-besaran pada bulan depan.

Bersih 5 mendakwa perhimpunan itu kononnya bagi memperjuangkan rakyat, namun umum mengetahui ia sebenarnya satu helah strategi politik jahat untuk memenangkan pembangkang.

Sebilangan pihak dalam negara melahirkan kebimbangan Bersih 5 sebenarnya bertujuan menumbangkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan seperti yang berlaku di negara-negara Arab. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com