Dakwa Mangsa "Double Standard", Jamal Isytihar "Perang" Terhadap Bersih

Reaksi Jamal sejurus dibebaskan pada petang Khamis.
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Jamal Yunos menyifatkan penahanannya sebagai 'double standard' dan menggesa pihak berkuasa menjalankan tugas mereka dengan adil.

Bercakap kepada pemberita di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Dang Wang, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata walaupun beliau memahami tanggungjawab polis dalam menjamin ketenteraman awam, beliau tidak boleh menerima penahanannya.

"Ia double standard dan satu penghinaan terhadap saya. Bayangkan perasaan isteri terutamanya anak-anak saya melihat bapa mereka ditahan dan digari sebaik tiba di balai ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Saya tidak layak menerima layanan sebegitu. Oleh itu, saya mengisytiharkan perang terhadap Bersih dan akan menggerakkan kumpulan Baju Merah ke seluruh negara untuk melawan Bersih," katanya pada Rabu.

Jamal yang dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 5 petang Khamis selepas direman selama dua hari berkata, polis juga patut menahan penyokong Bersih.

"Ia tidak adil bagaimana penyokong Bersih dilayan secara baik dan tiada daripada mereka ditahan sebaliknya mengadakan empat demonstrasi kerana cuba menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Kini mereka akan mengadakan demontrasi kelima.

"Semasa penahanan saya, beberapa penyokong mereka mengeluarkan kenyataan tidak berasas, sehingga ada yang mendakwa saya disyaki positif ganja. Di mana keadilan untuk perkara itu?," soalnya.

Pada masa sama, Jamal turut menafikan kumpulan Baju Merah mewakili Umno.

"Walaupun kami sebahagian daripada Umno, kumpulan Baju Merah tidak mewakili parti ketika berkumpul dan membantah demonstrasi Bersih," katanya.

Pada Rabu, Jamal ditahan berkaitan dakwaan insiden keganasan yang dikaitkan dengan kumpulan Baju Merah.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com