Dakwa Hospital P.Pinang Cuai, Cadang Fail Saman


SUNGAI PETANI - Seorang pekerja ladang kelapa sawit bercadang memfailkan saman terhadap sebuah hospital kerajaan di Pulau Pinang, walaupun didakwa ditawarkan RM20,600 sebagai sagu hati dengan syarat tidak membawa kes itu ke mahkamah.

K Thiyagarajan, 45, dari Sungai Bakap, Jawi berkata, walaupun pihak hospital telah memohon maaf dan menawarkan sagu hati kerana berlaku kesilapan tidak disengajakan, yang mana susu diberikan kepada isterinya, K Sumathi, 35, ketika dalam rawatan adalah tamat tempoh, namun tidak akan mengembalikan nyawa isterinya yang meninggal dunia pada 26 Julai tahun lalu.

“Saya berhasrat menolak pampasan itu dan mahu mengambil tindakan undang-undang bagi menjamin masa depan anak perempuan saya yang berusia 3 tahun.

“Menerusi  prosiding mahkamah, saya harap sangat dapat pengadilan sewajarnya dalam bentuk pampasan setimpal bagi membantu kos penjagaan anak saya yang masih kecil. Lebih dari itu, tindakan saman itu nanti akan dapat buka mata pihak terlibat supaya kesalahan sama tidak berulang,” katanya.

Thiyagarajan turut menunjukkan salinan surat tawaran pembayaran Ex-Gratia kepada media ketika ditemui di pejabat guaman, T Jayaraj & Company di Bandar Amanjaya, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, dia turut mendakwa pihak hospital tidak memberi rawatan sepenuhnya pada hari pertama isterinya dimasukkan ke hospital, malah pesakit dihantar pulang menaiki ambulan hospital pada hari sama, walaupun didakwa tidak menunjukkan sebarang reaksi positif.

“Pada hari berikutnya, isteri saya dibawa semula ke hospital kerana lemah anggota badan dan sukar bercakap. Pegawai perubatan kemudian merujuk pesakit ke hospital awam di Seberang Jaya dan seterusnya ke Jabatan Neurosurgeri, Hospital Pulau Pinang kerana dipercayai salur darah ke otak pecah akibat tekanan darah tinggi.

“Isteri saya dimasukkan ke ICU selepas pembedahan dan dirujuk untuk meneruskan rawatan di hospital awam terbabit pada hari ke-16 selepas pembedahan,” katanya.

Terdahulu, Thiyagarajan menyerahkan dokumen kes yang akan difailkan kepada peguam, Jayaraj.

Sementara itu, Jayaraj berkata, buat permulaan, pihaknya akan menghantar notis 30 hari dan seterusnya memfailkan saman sebanyak RM500,000 terhadap hospital terbabit serta tiga lagi defendan  termasuk Kementerian Kesihatan kerana didakwa cuai hingga mengakibatkan kematian isteri anak guamnya, tahun lalu.

“Saya mewakili plaintif (Thiyagarajan) akan memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melalui T Jayaraj & Company Advocates & Solicitors dalam masa terdekat untuk membantu anak guam saya mendapatkan ganti rugi sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Datuk  Dr Sukumar Mahesan ketika dihubungi semalam, mengesahkan mengenai tawaran pembayaran Ex-Gratia dipersetujui Kementerian Kesihatan sebagai satu bentuk penyelesaian yang menyeluruh dan muktamad.

Menurutnya, tawaran dibuat kepada Thiyagarajan selaku waris iaitu suami kepada mendiang K Sumathi di hospital terbabit.

“Bagaimanapun, tawaran tersebut sudah ditolak suami waris. Perkara ini sudah pun dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com