Cimpanzi Kuat Merokok Jadi "Tarikan" Di Zoo Pyongyang

AZALEA menunjukkan kemahiran menyalakan sebatang rokok menggunakan bara puntung rokok di zoo di Pyongyang pada 19 Oktober 2016. - AP
PYONGYANG - Korea Utara menggunakan cara kontroversi untuk menarik minat orang ramai mengunjungi sebuah zoo di ibu negara itu apabila melatih seekor cimpanzi untuk merokok pada setiap hari.

Portal Metro.uk melaporkan, cimpanzi yang dinamakan Azalea atau Dallae dalam bahasa Korea, menjadi tarikan sejak zoo di Pyongyang dibuka semula pada Julai lalu selepas proses menaiktaraf kemudahan itu dilakukan.

Mamalia betina berusia 19 tahun itu biasa menghabiskan sekotak rokok sehari selain menyalakan sendiri rokok menggunakan pemetik api.

Malah jika tidak diberikan pemetik api, Dallae turut mengetahui cara menyalakan rokok menggunakan bara rokok yang telah dibuang.

Di sebalik kemahiran yang dimilikinya itu, ramai pihak terutamanya aktivitis pencinta haiwan mengecam tindakan pihak pengurusan zoo berkenaan mengajar perkara buruk kepada binatang.

Selain itu mereka mendakwa, pengunjung zoo terutamanya kanak-kanak boleh terpengaruh dengan tabiat merokok yang ditunjukkan oleh Dallae.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com