Ceroboh Kem Tentera, Pembantu Peniaga Burger Didenda RM500


KUALA LUMPUR - Seorang pembantu peniaga burger didenda RM500 atau 15 hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin kerana menceroboh masuk ke dalam sebuah Kem Tentera tanpa kebenaran.

Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu kepada Muhammad Hafifi Azman, 27, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di kawasan milik Pasukan Angkatan Tentera Malaysia di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah, Jalan Ipoh pada 9.30 pagi, 5 Oktober lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah pergi ke kem itu untuk meminta bantuan kerana mendakwa pekebun kem yang sedang memotong rumput mahu mencederakannya.

Ketika tertuduh sampai di kem itu, pengadu Md Rafidi Zainol yang merupakan seorang anggota tentera yang bertugas di situ cuba menghubungi polis tetapi tertuduh bertindak melarikan diri ke arah kem namun dia berjaya ditahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia baru bekerja membantu abangnya menjual burger dan menanggung ibu yang sakit di kampung.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com