Cerita Konon Boikot Mesyuarat PAC Tidak Benar - Pengerusi


KUALA LUMPUR - Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin pada Rabu menafikan laporan terdapat beberapa anggota PAC daripada pihak pembangkang dan kerajaan memboikot mesyuarat jawatankuasa itu.

Mengulas laporan sebuah portal berita semalam, beliau berkata isu berkenaan tidak timbul kerana wakil pembangkang hadir dalam mesyuarat PAC manakala beberapa anggota lain yang tidak hadir telah memaklumkan sebab ketidakhadiran yang tidak dapat dielakkan.

"Mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, korum untuk PAC bersidang adalah tiga orang termasuk Pengerusi dan semua mesyuarat yang telah diadakan cukup korum," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Portal berkenaan melaporkan beberapa anggota PAC daripada pihak pembangkang dan kerajaan telah memboikot mesyuarat jawatankuasa itu kerana berbeza pendapat dengan Hasan.

Menurut laporan itu, anggota-anggota Parlimen berkenaan tidak hadir sepanjang pertemuan PAC semenjak bulan April hingga Oktober tahun ini.

Menjelas lanjut, Hasan berkata semua anggota PAC yang dilantik Parlimen sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang harus menghormati perlantikan yang dibuat sebagai tanggungjawab dan amanah kepada rakyat untuk meneliti dan memastikan setiap perbelanjaan kerajaan benar-benar dibelanjakan untuk kepentingan rakyat.

Dalam pada itu, Hasan berkata PAC semalam mengadakan prosiding membabitkan pengurusan Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Dalam prosiding itu, beliau berkata PAC melihat daripada sudut prestasi kewangan dan pengurusan aktiviti dilaksanakan bagi memastikan ia benar-benar mengikut tatacara kerajaan yang ditetapkan.

"PAC secara keseluruhannya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan saksi-saksi yang hadir dan akan mengadakan mesyuarat penyediaan laporan PAC bagi mengemukakan rumusan serta syor dalam laporan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya. -Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com